AM > BERITA

PM Arah Laporan Proses Pelaksanaan RPN 2026-2035 Dikemuka Mulai Mac Ini

20/01/2026 04:35 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian, jabatan dan institusi pendidikan yang berkaitan agar mengemukakan laporan proses pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mulai Mac ini.

Beliau berkata cabaran utama bukan terletak pada merangka pelan yang kelihatan gah, sebaliknya memastikan setiap program diterjemah dengan berkesan di lapangan.

“Itu bukan sahaja peringatan tetapi amaran keras daripada saya kerana saya bimbang banyak pelan yang kita boleh luncurkan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sampai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran RPN 2026-2035 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Anwar berkata RPN merupakan pelan besar untuk masa depan negara serta generasi muda, dan hanya akan memberi makna sekiranya dilaksanakan dengan baik.

“Jadi, kita berdoa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan dapat kita capai... ini pelan besar bagi negara kita... ini pelan baik atau rancangan baik untuk anak-anak kita.

“Ini memberikan satu gambaran tentang betapa seriusnya kita untuk membawa perubahan, melakukan lonjakan, transformasi dan reformasi dalam bidang pendidikan bagi memastikan dalam tempoh beberapa tahun ini, mutu pendidikan kita meningkat dan masa depan anak-anak lebih cerah berbanding sekarang,” katanya.

RPN 2026-2035 merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Pelan pendidikan baharu itu membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia adalah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan