AM > BERITA

Matriks Pembelajaran Tahun 4, Tingkatan 3 Fokus Intervensi, Pengukuhan Kurikulum

20/01/2026 05:04 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Pendekatan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi pelajar tahun empat dan tingkatan tiga bukan semata-mata sistem peperiksaan awam, sebaliknya satu kaedah penilaian yang menumpukan kepada sokongan awal pembelajaran secara berperingkat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pendekatan berkonsepkan ujian itu diperkenalkan bagi memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan guru dan pihak sekolah merancang langkah pengukuhan kurikulum yang bersesuaian.

“Pelaksanaan matriks pembelajaran tahun empat dibuat bagi memastikan masih terdapat tempoh dua tahun untuk melaksanakan intervensi, sekiranya kelemahan atau jurang pembelajaran dapat dikenal pasti pada peringkat awal (sebelum memasuki tingkatan satu).

Ad Banner
Ad Banner

“Secara keseluruhannya, matriks pembelajaran berperanan sebagai mekanisme intervensi dan pengukuhan pembelajaran selain menyokong pelaksanaan kurikulum baharu,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, di sini hari ini.

Matriks Pembelajaran Malaysia akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan selaku badan berwajib, bertujuan mewujudkan keyakinan awam terhadap ujian itu dan bagi tahun empat ia akan dilaksanakan Oktober tahun ini, manakala tingkatan tiga pada 2027.

Ia melibatkan empat mata pelajaran bagi tahun empat, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, manakala tingkatan tiga melibatkan lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Menurut Fadhlina, matriks pembelajaran juga secara tidak langsung akan mempersiapkan murid untuk menghadapi tiga penilaian antarabangsa, iaitu Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM).

Dalam pada itu, beliau berkata Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak dikembalikan memandangkan ia sudah tidak sesuai dengan pelajar sekarang.

“… matriks pembelajaran ini jauh lebih baik daripada UPSR dan PT3 kerana ruang lingkupnya adalah penambahbaikan dan intervensi," katanya.

RPN 2026-2035 ialah langkah reformasi pendidikan bagi membina masa hadapan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Pelan pendidikan baharu itu melibatkan dua kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara, daripada peringkat sekolah sehingga pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan