AM > BERITA

RPM 2026-2035 Lembaran Baharu Pendidikan Negara - Fadhlina

20/01/2026 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan pelancaran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 sebagai satu lembaran baharu dalam sistem pendidikan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata rancangan tersebut yang diluncurkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, merupakan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh mutu sistem pendidikan nasional.

“Rancangan ini bukan sekadar dokumen tetapi ia adalah hala tuju pendidikan negara untuk 10 tahun yang mendatang,” katanya menerusi hantaran yang turut memaparkan enam infografik prakarsa penting RPM 2026-2035 yang diumumkan di Putrajaya hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Pelan pendidikan baharu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu, merupakan rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara, daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Fadhlina berkata beberapa prakarsa penting turut diumumkan sempena pelancaran itu, merangkumi aspek pengukuran pencapaian murid, akses pendidikan awal, pengukuhan kurikulum kebangsaan, kebajikan guru serta peluasan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Beliau menambah pendidikan merupakan nadi negara dan memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan pelaksanaan RPM 2026-2035 berjaya demi masa depan anak-anak Malaysia.

“Pendidikan nadi negara. Ayuh, kita jayakan RPM 2026-2035 demi anak-anak Malaysia. Tahun ini, tahun kita,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan