SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor meletakkan pembangunan Islam sebagai teras utama dasar negeri yang dilaksanakan secara tersusun dan berpaksikan kepada Maqasid Syariah, iaitu demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan serta harta.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendekatan tersebut, diterjemahkan melalui tadbir urus hal ehwal Islam yang berwibawa dan berkesan, dengan penglibatan aktif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta agensi agama negeri yang lain secara bersepadu.
“Justeru, kerajaan negeri kekal komited menyokong sepenuhnya segala usaha yang membawa umat Islam untuk mendekati, memahami dan menghayati al-Quran sebagai panduan hidup, selain memberi perhatian besar terhadap pembangunan ilmu dan pendidikan Islam, kerana ilmu itu asas kepada pembinaan tamadun.
“Pelaburan berterusan dilakukan dalam pembangunan sekolah-sekolah agama negeri, institusi tahfiz dan pondok, serta program Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS), dengan matlamat melahirkan generasi al-Quran yang berilmu, berfikiran kritis, berakhlak mulia dan berupaya memimpin masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1447H/2026M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah, Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin dan Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Amirudin berkata kerajaan Selangor yakin kemajuan ekonomi yang mampan, mesti digandingkan dengan kekuatan ilmu dan kesuburan spiritual.
“Justeru, di Selangor pembangunan ekonomi sentiasa diseiringkan dengan pemerkasaan modal insan, keadilan sosial dan nilai kemanusiaan.
“Inilah semangat Malaysia MADANI yang kita junjung bersama, iaitu sebuah gagasan pembangunan yang menekankan keseimbangan antara kemajuan dan nilai, antara teknologi dan akhlak, serta antara pertumbuhan dan kemanusiaan,” katanya.
Pertandingan tilawah dan hafazan peringkat negeri itu berlangsung selama empat hari bermula hari ini, disertai 19 peserta tilawah (10 qari dan 9 qariah) dan 35 peserta hafazan (18 hafiz dan 17 hafizah) yang memperlihatkan bakat dalam bidang seni al-Quran serta hafalan, bagi melayakkan diri bertanding ke peringkat kebangsaan di Terengganu pada 13 hingga 18 April depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial