AM > BERITA

Pentaksiran Berpusat Tahun Empat, Tingkatan Tiga, Perkukuh Penguasaan Murid - Pakar

21/01/2026 10:28 AM

Oleh Puti Iylia Maisarah dan Wan Ainun Shafiqah Wan Zain

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Keputusan kerajaan memperkenalkan penilaian pembelajaran di sekolah rendah dan menengah melalui Matriks Pembelajaran Malaysia disifatkan sebagai langkah pragmatik serta intervensi awal bagi memperkukuh pembelajaran murid secara lebih sistematik.

Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan bermula pada tahun ini, manakala Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada 2027.

Ad Banner
Ad Banner

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia MINDA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata pentaksiran berpusat oleh Lembaga Peperiksaan pada peringkat sekolah rendah dan menengah itu juga ialah langkah tepat bagi memperkukuh pemantauan dan menilai tahap penguasaan asas murid.

“Langkah ini disarankan kerana pentaksiran pada tahun empat membolehkan penguasaan asas seperti membaca, menulis, mengira, menaakul dan berfikir dinilai lebih awal. Apabila keputusan diperoleh, intervensi boleh dilaksanakan pada tahun lima dan tahun enam.

“Perkara ini memberikan tempoh dua tahun untuk meningkatkan keupayaan asas murid supaya mereka lebih bersedia apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata pendekatan itu juga dapat mengatasi kelemahan sistem sebelum ini yang terlalu bergantung pada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), sekali gus menyebabkan sebahagian murid melangkah ke tingkatan satu tanpa penguasaan asas yang kukuh.

Anuar turut menyifatkan pengenalan pentaksiran berpusat semasa tingkatan tiga sebagai intervensi awal bagi membantu mengenal pasti kecenderungan dan keupayaan murid dalam pemilihan aliran yang sesuai, sama ada sains, sastera atau teknikal dan vokasional.

“Pentaksiran ini membolehkan murid diberi bimbingan dan sokongan mengikut keupayaan akademik masing-masing sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 semalam berkata Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan dilaksanakan mulai 2026 membabitkan empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Beliau berkata Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pula akan diperkenalkan bermula pada 2027 melibatkan lima mata pelajaran utama, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Anwar berkata kedua-dua pengukuran akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penilaian pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada penguasaan pembelajaran murid.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Siti Sabihah Ghazali menyifatkan langkah berkenaan sebagai pendekatan progresif dalam memacu sistem pendidikan negara dengan lebih berkesan. 

“Pendekatan ini ialah satu langkah baik yang diambil kerajaan kerana selari dengan keadaan semasa sistem pendidikan, dalam memenuhi keperluan global secara holistik,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Salleh Amat menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai langkah positif bagi memastikan keberkesanan pendidikan dalam jangka panjang dan percaya libat urus secara menyeluruh telah dilaksanakan sebelum perancangan itu diumumkan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung aspek yang akan diukur dan dinilai melalui matriks berkenaan bagi memastikan guru serta ibu bapa memahami kaedah pelaksanaannya, sekali gus mengelakkan tekanan psikologi terhadap guru dan murid.

“Saya berpandangan penilaian pada tahun empat dan tingkatan tiga bersesuaian kerana membolehkan intervensi awal dilaksanakan sekiranya kelemahan murid dapat dikenal pasti.

“Pada peringkat awal, pelaksanaan ini mungkin menimbulkan kegusaran dalam kalangan guru, namun perkara itu boleh diatasi sekiranya terdapat sistem penyampaian maklumat serta sokongan pelaksanaan yang jelas dan berkesan,” kata Salleh yang juga pensyarah pendidikan dalam bidang psikologi dan kaunseling. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan