TANAH MERAH, 21 Jan (Bernama) -- Kekurangan fizikal tidak pernah memadamkan semangat seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Chawas di sini untuk bangkit berdikari, malah menjadi pemangkin kepada usaha membina kehidupan yang lebih bermakna.
Berbekalkan tongkat dan kemahiran membaiki telefon pintar, Ismail Yusoff, 24, membuktikan bahawa keterbatasan bukan alasan untuk bergantung sepenuhnya kepada ihsan orang lain apabila perkhidmatan baik pulih telefon yang dijalankan dari rumahnya sejak tiga tahun lalu kini menjadi sumber rezeki utama.
Dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kanan, Ismail tetap cekal melangkah ke hadapan apabila terpaksa meninggalkan pekerjaannya di sebuah kedai membaiki telefon pintar di Johor Bahru susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan peluang pekerjaan.
“Ketika pulang ke kampung, saya berdepan kesukaran mencari kerja dan pada masa sama bimbang memikirkan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikal saya.
“Namun sokongan rakan serta ahli keluarga memberi kekuatan kepada saya untuk memulakan khidmat baik pulih telefon, bermula secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat sebelum mendapat kepercayaan penduduk kampung,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Ismail, yang lebih dikenali sebagai “Mail Totey”, berkata kemahiran itu diasah sepanjang dua tahun bekerja di kedai milik rakannya di Johor Bahru, pengalaman yang kini menjadi asas kepada kelangsungan hidupnya.
Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan semakin mendapat sambutan apabila pelanggan bukan sahaja datang dari Kampung Chawas, malah dari sekitar daerah Tanah Merah serta kawasan berdekatan.
“Saya mengenakan caj antara RM100 hingga melebihi RM300 bagi setiap telefon, bergantung kepada jenis kerosakan dan jenama,” katanya.
Anak ke-10 daripada 12 beradik itu berkata pendapatan melebihi RM1,500 sebulan hasil usaha berkenaan bukan sahaja membantu menampung keperluan harian, malah mengukuhkan keyakinannya untuk terus berdikari.
“Saya juga menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sangat membantu, terutama untuk keperluan asas,” katanya.
Beliau berkata ketiadaan kedai membaiki telefon di sekitar kampung membuka ruang untuk memanfaatkan kemahiran yang dimiliki, sekali gus memudahkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan berkenaan tanpa perlu ke bandar.
“Sepanjang tiga tahun ini, pelanggan tidak pernah putus. Kebiasaannya dalam sehari saya membaiki antara tiga hingga empat buah telefon,” katanya.
Selain bergantung kepada pelanggan tetap, Ismail turut memanfaatkan platform media sosial TikTok bagi mempromosikan perkhidmatannya, di samping mendapatkan bekalan alat ganti secara kecil-kecilan daripada pembekal di bandar Tanah Merah.
Katanya, antara kerosakan yang kerap dibaiki termasuk masalah bateri, skrin dan port pengecas, sambil mengakui kerja membaiki telefon pintar menuntut tahap ketelitian tinggi kerana melibatkan komponen yang kecil dan sensitif.
“Saya sedar untuk membuka kedai yang lebih besar memerlukan modal. Sebab itu saya bermula dari bawah. Jika ada rezeki, saya bercita-cita memiliki kedai sendiri dengan peralatan yang lebih lengkap.
“Kekurangan fizikal ini tidak akan saya jadikan alasan untuk berhenti berusaha,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial