AM > BERITA

LUAS Perkukuh Kerjasama Strategik, Tingkat Langkah Kesiapsiagaan Daya Tahan Sumber Air

21/01/2026 06:17 PM

SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak universiti dan institusi pendidikan dalam penyelidikan serta kajian lapangan sebagai langkah kesiapsiagaan daya tahan pengurusan sumber air negeri. 

LUAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu turut merangkumi pemodelan hidrologi, pengesanan awal pencemaran serta pembangunan kaedah pemantauan yang lebih efisien selaras pendekatan teknologi Internet Benda (IoT). 

“Dalam konteks perubahan iklim serta ancaman pencemaran baharu, kolaborasi ini penting untuk menyokong perancangan adaptasi jangka panjang dari segi pengurusan risiko banjir dan kemarau serta perlindungan berterusan terhadap sumber air Selangor,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Selain institusi akademik, LUAS turut menekankan kerjasama rentas agensi, industri dan komuniti setempat bagi memastikan pendekatan pengurusan sumber air bersepadu yang lebih holistik dilaksanakan. 

LUAS memaklumkan setiap dapatan kajian sama ada daripada institusi akademik, perunding atau pemantauan dalaman akan dinilai secara menyeluruh dari aspek kebolehgunaan operasi, impak terhadap kualiti air serta kesesuaiannya dengan kerangka perundangan sedia ada.

Selain itu, data lapangan yang dikumpulkan berfungsi sebagai mekanisme pengesahan bagi memastikan hasil penyelidikan selari dengan realiti di tapak dan boleh dilaksanakan secara praktikal sekali gus mengelakkan jurang antara analisis saintifik serta tindakan sebenar.

“Dapatan yang relevan akan diterjemahkan ke dalam penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) termasuk garis panduan teknikal, tadbir urus pengurusan sumber air serta input kepada penggubalan dasar negeri.

“Pada masa sama data lapangan daripada LUAS juga berfungsi sebagai mekanisme pengesahan. Kita mahu memastikan hasil penyelidikan sejajar dengan realiti di tapak dan boleh dilaksanakan secara praktikal,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Ahli Bersekutu Institut Sains Laut dan Bumi Universiti Malaya Prof Dr Mohamad Pauzi Zakaria berkata sokongan terhadap penyelidikan merupakan langkah tepat dalam membantu memastikan sumber air bebas daripada bahan terlarang, meningkatkan bekalan air bersih untuk populasi yang semakin bertambah dan menyokong keperluan industri.

Beliau berkata penggunaan teknologi dan penyelidikan saintifik telah terbukti berhasil apabila air mentah yang dirawat dapat disalurkan kepada pengguna. 

“Sokongan penyelidikan yang kukuh serta komitmen semua pihak termasuk kerajaan negeri berupaya menangani isu keselamatan, kualiti dan kelestarian sumber air secara mampan,” katanya. 

Sebelum ini LUAS memaklumkan akan terus menyokong penyelidikan akademik berkaitan pengurusan sumber air menerusi aktiviti kajian lapangan dan pengambilan sampel air di negeri ini. 

LUAS  juga sentiasa menggalakkan pihak berkepentingan, khususnya penuntut universiti meneroka sumber air negeri bagi memperkukuh pengalaman penyelidikan dan memahami peranan LUAS sebagai pengurus sumber air di Selangor. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan