AM > BERITA

Kanak-kanak B40 Diutamakan Dalam Peluasan Prasekolah Percuma

22/01/2026 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah B40 diberi keutamaan dalam kemasukan ke kelas prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai usaha memastikan akses pendidikan awal yang lebih saksama di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata perkara itu selari dengan komitmen kementerian untuk memperluas pendidikan prasekolah percuma bagi mengelakkan keciciran kanak-kanak pada peringkat awal.

“KPM komited dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan prasekolah percuma selaras dengan agenda utama reformasi pendidikan KPM untuk memperluas kelas prasekolah tanpa menangani isu keciciran pada peringkat awal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) yang ingin tahu sama ada akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti mencukupi, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

Wong berkata peluasan prasekolah dilaksanakan setiap tahun, terutama di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi bagi memberikan peluang kepada lebih ramai kanak-kanak, khususnya daripada golongan B40 mengikuti pendidikan prasekolah KPM.

“Pada 2025, KPM telah melaksanakan peluasan sebanyak 150 kelas prasekolah dan pada 2026, peluasan dijangka sebanyak 350 kelas prasekolah yang melibatkan pelbagai jenis institusi KPM akan dilaksanakan.

“Hal ini menjadikan jumlah kelas prasekolah sedia ada ketika ini ialah 10,514 buah dan sedang beroperasi di 6,469 sekolah atau institusi pendidikan di seluruh negara,” katanya sambil menambah peluasan kelas prasekolah tidak terhad di sekolah rendah, sebaliknya turut diperluas ke sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menurut Wong, setakat ini juga terdapat 214,122 murid sedang mengikuti kelas prasekolah di institusi pendidikan di bawah KPM.

Menjawab soalan tambahan Hishammuddin berhubung kesiapsiagaan fasiliti dan tenaga pendidik susulan inisiatif pendidikan baharu termasuk kemasukan awal murid enam tahun ke tahun satu, beliau berkata bagi jangka masa pendek, pembinaan bangunan baharu akan dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membolehkan kemudahan disiapkan dalam tempoh singkat.

Bagi keperluan tenaga pendidik pula, Wong berkata KPM akan melaksanakan pengambilan khas guru bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebagai langkah segera sebelum kohort baharu bermula.

“Berkenaan dengan fasiliti, kemudahan sedia ada di sekolah akan diguna pakai dan dioptimumkan, tetapi kita mengambil maklum bahawa ada sekolah-sekolah yang mungkin perlu kita tambah.

“Untuk perancangan jangka masa panjang pula, pengambilan PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dan PDPP (Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan) juga akan bertambah tertakluk kepada unjuran baharu yang akan disediakan oleh KPM berdasarkan kepada data yang ada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan