AM > BERITA

RUU PSB Akan Dipinda Untuk Penambahbaikan Dan Dibentang Semula Di Parlimen - Fahmi

23/01/2026 06:23 PM

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025, atau Urban Renewal Act (URA), ditarik balik bagi membolehkan penambahbaikan menyeluruh dilakukan sebelum dibentang semula di Parlimen, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet secara dasar bersetuju bahawa wujud keperluan untuk menambah baik RUU itu bagi membolehkan isu perumahan di kawasan bandar khususnya yang berkait dengan miskin bandar diatasi secara tuntas dan adil.

"Maka pada hari ini, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa undang-undang pembaharuan semula bandar ini akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan dibentang, diteliti, dibincang dan diputuskan oleh Jemaah Menteri pada satu tempoh yang akan dimaklumkan.

Ad Banner
Ad Banner

“Seterusnya, dibentangkan semula dalam bentuk (RUU) yang baharu di Parlimen," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Beliau berkata penarikan semula itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Ahli-Ahli Parlimen yang membahaskan RUU PSB di Dewan Rakyat serta maklum balas daripada rakan-rakan UMNO dan anggota Jemaah Menteri lain. 

Katanya RUU PSB yang baharu kelak sudah tentu akan mengambil kira  pandangan-pandangan yang diterima dari pelbagai pihak.

"Jadi, ada beberapa perkara kita akan teliti untuk tambah baik dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming) sendiri telah memaklumkan bahawa daripada pihak UMNO, ada sejumlah cadangan yang telah diterima dan banyak daripada cadangan ini, hampir kesemuanya akan dimasukkan ke dalam draf yang baharu," 

"Jadi, hasratnya adalah untuk memurnikan proses itu dan menambah baik RUU setelah menerima pelbagai maklum balas termasuk dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat," katanya.

Ditanya tempoh untuk pembentangan semula RUU PSB itu, Fahmi berkata proses untuk menghasilkan draf undang-undang yang baharu itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Tapi mungkin apabila proses itu bermula, Jemaah Menteri akan diberikan sedikit taklimat... tapi sebelum ia ke Jabatan Peguam Negara, draf yang baharu mesti dibawa juga kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan... jadi, kita jangkakan ia memakan sedikit masa," katanya.

Fahmi berkata kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) atas usaha libat urus serta penyediaan cadangan penambahbaikan RUU PSB sebelum ini.

Pada 20 Jan lepas, Nga berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia membentangkan semula RUU PSB 2025 untuk bacaan kali kedua memandangkan ia penting untuk penduduk yang terkesan dengan bangunan daif, usang serta membahayakan.

Pada 28 Ogos lepas, bacaan kali kedua RUU berkenaan telah dibentang namun tidak dibahas sebelum ditangguhkan ke persidangan berikutnya.

Keputusan penangguhan diambil berikutan terdapat beberapa kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan termasuk oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional dan PKR.

RUU itu adalah inisiatif di bawah KPKT dan PLANMalaysia yang dirancang untuk memperbaharui kawasan bandar yang daif, usang serta tidak selamat di Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan