AM > BERITA

ATAM Perlu Tekankan Pembangunan Modal Insan Menyeluruh - Raja Muda Perlis

24/01/2026 08:23 AM

KRABI (Thailand), 24 Jan (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) memberikan penekanan serius terhadap pembangunan modal insan secara menyeluruh dalam merangka perancangan untuk lima tahun akan datang.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah program yang dilaksanakan perlu relevan dengan keperluan semasa berasaskan kemahiran sebenar, keusahawanan, kebolehpasaran kerja serta literasi kewangan dan juga digital. 

"Pendekatan bersepadu ini pada saya amat penting dalam usaha kita memastikan golongan asnaf di Perlis bukan sahaja berkemahiran, malah berdaya saing dan berkeyakinan untuk hidup berdikari pada masa hadapan," titah baginda.

Ad Banner
Ad Banner

Raja Muda Perlis bertitah demikian pada Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah ATAM Hala Tuju 2026-2030 di sini malam tadi, sempena Program Ziarah Mahabbah MAIPs ke Wilayah Andaman 2026 yang dilaksanakan di Krabi selama tiga hari bermula semalam.

Untuk rekod, Wilayah Andaman di selatan Thailand itu merangkumi Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah aspek tadbir urus, pemantauan dan penilaian perlu juga diperkasakan, dan pada masa sama setiap program perlu diukur berdasarkan hasil dan impak, bukan sekadar bilangan penyertaan atau perbelanjaan. 

"Data, analisis dan maklum balas perlu dimanfaatkan bagi menambah baik pendekatan sedia ada dan memastikan dana yang disalurkan dapat diuruskan dengan baik, amanah, telus dan berkesan," titah baginda.

Raja Muda Perlis menegaskan penubuhan ATAM bukan sekadar untuk melaksanakan latihan atau program jangka pendek semata-mata, tetapi sebagai sebuah institusi strategik terbaik yang berperanan mentransformasikan asnaf.

"Daripada bersifat ‘kebergantungan’ kepada sifat ‘keupayaan’, iaitu daripada menjadi ‘penerima’ kepada seorang ‘penyumbang’. Justeru, hala tuju yang digariskan hendaklah jelas, berfokus dan berpaksikan impak sebenar kepada kehidupan asnaf," titah baginda.

Terdahulu, baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersama kepimpinan dan pihak berkuasa Wilayah Krabi, termasuk Gabenor Wilayah Krabi Angkoon Seelatewakul dan Timbalan Pengarah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah Krabi (Tentera) Kolonel Pratharn Talapthong.

Pada majlis santapan malam itu, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis turut berkenan mempromosikan masakan Perlis, iaitu Kurma Daging dan Tahun Melawat Perlis 2024-2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan