KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali KFC, Pizza Hut dan Life, mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 31 peratus daripada KFC Malaysia dan Pizza Hut Malaysia, dua penyumbang terbesar syarikat itu, untuk tahun kewangan (FY) 2025.
Kumpulan itu dalam kenyataan memaklumkan prestasi berkenaan berjaya dicapai meskipun terdapat cabaran luaran yang dihadapi industri makanan dan minuman sejak dua tahun lepas, yang mendorong tumpuan baharu dalam mengenal pasti peluang pertumbuhan.
Tempoh berkenaan menandakan cabaran paling ketara sejak pandemik COVID-19, menyebabkan pihak pengurusan memperkemas fokus strategik melalui rangka kerja baharu.
Rangka kerja ini memberikan tumpuan kepada penerokaan kelompok permintaan baharu bagi meningkatkan transaksi, memacu inovasi menu, penutupan sementara kedai yang mencatat kerugian (yang kini telah dibuka semula), pelaburan dalam modal insan dan teknologi, serta memupuk hubungan baharu dengan komuniti menerusi inisiatif pembinaan negara bangsa.
"QSR Brands juga membuktikan kepimpinan syarikat itu dengan menjadi yang pertama menutup sementara kedai yang mencatat kerugian pada April 2024.
"Langkah ini dilakukan selepas perancangan dan analisis teliti secara terpilih bagi menumpukan sumber kepada rangkaian kedai yang memberikan pulangan lebih tinggi. Kedai terlibat kini telah pun dibuka semula," menurut kenyataan itu.
Pada 2025, QSR Brands memeterai perkongsian strategik bagi perniagaan huluan ternakan, membolehkan kumpulan itu mengalihkan sumber kepada operasi teras restoran, sambil mengukuhkan kunci kira-kira syarikat berkenaan.
"Antara 2024 hingga 2025, QSR Brands melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi pekerjaan dan memastikan tenaga kerja dikekalkan. Langkah ini ialah sebahagian asas nilai yang mengutamakan pekerja," menurut kenyataan itu.
Bagi menyokong perancangan penggantian kepimpinan dan transformasi organisasi, sekumpulan bakat pengurusan muda di bawah inisiatif NextGen dinaikkan pangkat kepada jawatan pengurusan kanan bagi memacu pelaksanaan strategik.
QSR Brands memaklumkan pembinaan negara bangsa kekal menjadi nilai teras menerusi inisiatif yang menyokong rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
Antara inisiatif berkenaan ialah kerjasama dengan Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia bagi memupuk pemahaman komuniti yang lebih mendalam dan kesarjanaan Islam, serta perkongsian dengan Kerajaan Negeri Johor untuk menaja 2,000 iPad kepada pelajar sekolah menengah di bawah inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor.
Melalui jenama, kumpulan itu juga menyokong komuniti B40 menerusi biasiswa KFC yang meliputi yuran pengajian menyeluruh dan penginapan untuk pelajar di universiti awam tempatan, selain kempen Sehati Feed-to-Educate yang membantu 1,400 keluarga di seluruh negara dengan menyediakan bantuan makanan kepada pelajar sekolah rendah supaya mereka mendapat nutrisi mencukupi untuk hadir ke sekolah.
Bagi menggalakkan golongan muda di negara ini menampilkan potensi terbaik diri mereka, kumpulan itu memaklumkan KFC bekerjasama dengan Johor Motor Racing (JMR) untuk menyokong aspirasi Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Baginda berdua telah membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai melalui kerja keras dan keazaman, dan acara yang dianjurkan memberikan peluang kepada belia berinteraksi dengan dua putera kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu tentang pengalaman dan perjalanan baginda berdua.
Sementara itu, Pengerusi QSR Brands Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata keputusan prestasi FY2025 menunjukkan kekuatan dan visi kumpulan berkenaan.
"FY2025 membuktikan bahawa QSR Brands bukan sekadar berdaya tahan, tetapi juga menjadi kuasa kemajuan. Pencapaian pertumbuhan dua digit sambil melindungi kebajikan pekerja dan pelanggan mencerminkan kekuatan pasukan pengurusan dan kepimpinan, serta kepercayaan yang diberikan oleh ahli lembaga dan pemegang saham.
"Kami bukan sahaja menyampaikan hasil, tetapi membentuk masa depan industri makanan dan minuman di Malaysia," katanya dalam kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna berkata kumpulan itu memasuki FY2026 dengan keyakinan baharu susulan pembukaan semula semua cawangan.
"Masa depan QSR Brands terletak pada teknologi dan inovasi yang dimanfaatkan untuk membuka pertumbuhan baharu. Dengan Pelan Hala Tuju Transformasi sedang dilaksanakan, kami yakin dapat mengembangkan kepimpinan di seluruh ASEAN, memacu kecekapan operasi dan mewujudkan nilai mampan jangka panjang kepada para pemegang saham," katanya.
Beliau berkata tadbir urus kukuh menjadi teras kejayaan QSR Brands dan keupayaan untuk menyampaikan hasil yang konsisten disokong oleh pematuhan dan pematuhan berdisiplin.
"Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi Pengerusi, Lembaga Pengarah dan pemegang saham Johor Corporation (JCorp), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan CVC, serta semua rakan kongsi kami.
"Dengan sokongan menyeluruh ini, kami membina rangka kerja kawalan dalaman dan dasar jelas bagi memastikan setiap inisiatif, daripada inovasi menu sehingga transformasi digital, selari dengan visi jangka panjang dan memberikan impak khusus," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial