AM > BERITA

Sarawak Perkukuh Peranan Sebagai Hab Tenaga Hijau Melalui Projek Penyambungan Grid Kuasa

24/01/2026 03:55 PM

KOTA KINABALU, 24 Jan (Bernama) -- Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai hab tenaga hijau dan pusat integrasi grid serantau melalui Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu berada pada kedudukan strategik untuk berkongsi sumber tenaga dengan jiran Borneonya, iaitu Sabah, Brunei dan Kalimantan, bagi manfaat bersama.

“Kami dikurniakan sumber tenaga yang melimpah, kebanyakannya boleh diperbaharui, terutamanya tenaga hidroelektrik,” katanya pada majlis penghidupan grid di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, bersama-sama menyempurnakan penghidupan talian penghantaran berkapasiti 275 kilovolt yang menghubungkan kedua-dua negeri di Borneo itu.

Bekalan elektrik telah mengalir daripada Sarawak ke Sabah sejak Disember tahun lepas susulan penyegerakan sistem berjaya dilakukan oleh pengendali grid kedua-dua negeri.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak juga sedang meneroka pembangunan sumber hidro berperingkat dan pemasangan solar terapung pada empangan sedia ada bagi meningkatkan kapasiti penjanaan kepada 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.

Sejajar dengan Strategi Pembangunan Pascapandemik COVID-19 Sarawak 2030, Premier itu berkata projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, sambil meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta merangsang aktiviti ekonomi di kedua-dua negeri.

“Pada masa yang sama, ia memajukan objektif Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dengan membolehkan Sarawak berkongsi sumber tenaga boleh baharu, menyumbang kepada campuran tenaga yang lebih seimbang dan rendah karbon bagi rantau ini.

“Di peringkat nasional, projek ini turut menyumbang secara signifikan kepada matlamat peralihan tenaga Malaysia, memperkukuh keselamatan tenaga negara dan menunjukkan bagaimana kerjasama antara negeri menyokong matlamat kelestarian jangka panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NET-R),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan