AM > BERITA

PM Anwar Cadang Masjid Tubuh Jawatankuasa Khas Orang Muda

24/01/2026 04:35 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas orang muda bagi memberi ruang kepada golongan belia merancang serta melaksanakan program kemasyarakatan dan keagamaan.

Beliau berkata penglibatan aktif anak muda penting bagi memastikan masjid terus berperanan sebagai pusat pembangunan ummah serta institusi yang sentiasa diimarahkan.

“Anak muda patut ada jawatankuasa khas di bawah pengurusan masjid supaya mereka boleh menjalankan kelas dan kegiatan mengikut keperluan mereka, selagi mematuhi peraturan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Kubang Ulu di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menambah, terdapat masjid yang telah menjadi contoh baik seperti di Cherok Tok Kun yang mewujudkan jawatankuasa orang muda bagi menggerakkan aktiviti belia di masjid.

Anwar berkata masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah perlu berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah, pencerahan pemikiran, pengukuhan akidah serta pembentukan akhlak masyarakat.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa pembinaan masjid baharu, termasuk Masjid Kubang Ulu, perlu disusuli dengan tanggungjawab memakmurkannya melalui pengisian program serta aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.

Tegasnya, masjid harus memainkan peranan sebagai “jantung kekuatan” umat Islam yang memperkukuh kefahaman agama, membaiki sahsiah serta membentuk generasi muda dengan asas akidah dan akhlak yang kukuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan