AM > BERITA

Pendekatan 3P Asas Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi Untuk Tempoh Lima Tahun - KSU

24/01/2026 07:31 PM

GENTING HIGHLANDS, 24 Jan (Bernama) -- Pendekatan 3P - Polisi, Produk dan People (Rakyat) -menjadi asas utama dalam merangka hala tuju Kementerian Komunikasi bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan lebih bersepadu, berfokus dan berimpak tinggi kepada masyarakat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata pendekatan itu menjadi teras utama perbincangan dalam Mesyuarat Kerja Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi 2026 yang berlangsung tiga hari bermula semalam, melibatkan penyelarasan menyeluruh semua jabatan dan agensi di bawah kementerian.

“Program ini melibatkan semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan telah menggariskan beberapa perkara penting dengan visi pada ketika ini ialah Malaysia yang terhubung, berinformasi dan kreatif.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini menjadi visi dalam kerangka strategik Kementerian Komunikasi bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj serta pengurusan tertinggi daripada pelbagai agensi di bawah kementerian, antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Abdul Halim berkata mesyuarat itu menekankan keperluan menterjemahkan dasar dan aspirasi kerajaan daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan sebenar yang boleh dirasai oleh masyarakat supaya manfaat dasar tersebut bukan sahaja difahami tetapi juga dirasai secara nyata oleh rakyat.

Bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan pula, katanya kerangka strategik kementerian turut dirangka berteraskan pendekatan antaranya pembangunan infrastruktur digital, pemerkasaan industri kreatif serta pengukuhan sistem informasi serta komunikasi kerajaan.

Beliau berkata jawatankuasa mesyuarat itu turut bersetuju dengan empat teras strategik yang dibincangkan, antaranya pemerkasaan ekosistem komunikasi negara ke arah ketersambungan yang terangkum, berkualiti dan selamat, selain pemerkasaan industri filem dan muzik yang berdaya saing.

 “Teras berkenaan turut memfokuskan transformasi penyampaian maklumat secara bersepadu serta reformasi penyampaian perkhidmatan yang responsif terhadap dasar kerajaan dan berorientasikan pelanggan.

“Mesyuarat bersepakat dengan teras strategik disediakan serta bersetuju supaya ia diteliti dengan lebih mendalam, termasuk mengenal pasti beberapa bidang penting yang perlu diberi tumpuan khusus, terutama melibatkan aspek keselamatan dalam talian dan mekanisme penyaluran dana kepada penerima manfaat,” katanya.

Abdul Halim berkata antara program utama yang turut diberi fokus kementerian ialah usaha merancakkan pelaksanaan inisiatif di bawah Belanjawan 2026, termasuk pembangunan kabel dasar laut, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2.0, penyediaan dana industri kreatif serta beberapa kemudahan lain yang telah diumumkan kerajaan.

Beliau berkata fokus berkenaan turut merangkumi inisiatif Belia MADANI yang akan diperkasakan menerusi kerjasama agensi di bawah Kementerian Komunikasi bagi mendorong pengembangan industri kreatif secara menyeluruh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan