AM > BERITA

LPPB Bina 29,443 PAKR Di Sabah Sepanjang Enam Dekad - Hajiji

24/01/2026 10:02 PM

KOTA KINABALU, 24 Jan (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berjaya membina sebanyak 29,443 unit perumahan awam kos rendah (PAKR) di seluruh Sabah sepanjang tempoh hampir enam dekad penubuhannya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perkara itu membuktikan peranan strategik agensi berkenaan dalam merealisasikan agenda perumahan rakyat di Sabah.

“LPPB turut memainkan peranan penting dalam pembangunan rumah mampu milik (RMM) serta projek komersial yang membantu kerajaan negeri merapatkan jurang sosioekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar secara lebih tersusun serta menyeluruh,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-59 LPPB di sini.

Ad Banner
Ad Banner

Hajiji berkata usaha berterusan LPPB yang konsisten melaksanakan projek perumahan di seluruh Sabah adalah selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Beliau juga berkata seiring matlamat Belanjawan Sabah 2026 yang memberi penekanan kepada pemacuan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah terus memberi perhatian serius terhadap penyediaan perumahan awam termasuk kos rendah dan mampu milik.

Hajiji berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui LPPB akan meneruskan pelaksanaan beberapa inisiatif utama antaranya pembangunan PAKR di Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas.

Beliau berkata selain itu, pelaksanaan projek RMM yang sedang dan akan dibangunkan melibatkan 2,358 unit di lokasi strategik seperti daerah Sandakan, Papar serta Kota Kinabalu turut menjadi keutamaan.

Ketua Menteri Sabah itu berkata selain sektor perumahan, antara mandat penting LPPB ialah merancang dan membangunkan pekan baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh pembangunan luar bandar.

Hajiji juga berkata pada tahun ini, Kerajaan Negeri Sabah akan menambah kuota Rumah Mesra Sabah Maju Jaya daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata penambahan 10 unit itu dikhaskan kepada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah, telah berumah tangga serta tidak memiliki rumah sebagai usaha membantu generasi muda memiliki kediaman sendiri.

“Usaha ini penting bagi memenuhi keperluan rakyat termasuk di kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup penduduk Sabah... setiap projek yang dibangunkan LPPB bukan sekadar struktur fizikal sebaliknya membawa harapan, masa depan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan