AM > BERITA

Kampung Orang Asli Bukit Baja, Dengkil Dibangun Sebagai Perkampungan Moden - Exco

25/01/2026 05:29 PM

CYBERJAYA, 25 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil langkah strategik untuk mentransformasikan kehidupan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Baja, Dengkil daripada perkampungan tradisional kepada komuniti moden yang mampan, kata Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah.

Beliau berkata usaha itu merangkumi pewartaan 180 ekar tanah (72.8 hektar) sebagai kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli, penyediaan rumah sesebuah setingkat berkeluasan 1,000 kaki persegi serta pembangunan kemudahan awam termasuk dewan orang ramai, bangunan tadika dan infrastruktur asas lain.

“Pendekatan kita bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi menjamin masa depan masyarakat Orang Asli. Tanah ini telah diwartakan dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

Borhan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek kepada 56 Ketua Isi Rumah Komuniti Orang Asli Bukit Baja di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menyalurkan pampasan awal RM10,000 kepada setiap 56 keluarga yang bersetuju berpindah ke kediaman baharu selepas rumah siap dibina, sebelum tanah asal diambil alih oleh PKNS untuk dibangunkan sebagai padang golf.

"Konsep binaan rumah yang dibangunkan mengambil kira identiti dan gaya hidup masyarakat Orang Asli termasuk reka bentuk rumah tanpa pagar bagi mengekalkan suasana kehidupan tradisional dalam persekitaran moden,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut merancang menjadikan kawasan penempatan baharu itu sebagai perkampungan Orang Asli moden daerah Sepang yang dilengkapi dengan lot premis perniagaan bagi membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS (Usahasama Strategik) Md Kamarzan Md Rais berkata rundingan selama lebih dua dekad membuahkan hasil selepas persetujuan dicapai dengan Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Baja, Jalil Long dan penduduk kampung terlibat.

Beliau berkata PKNS akan membangunkan sebuah komuniti moden yang merangkumi pejabat Tok Batin, klinik, taman permainan dan kemudahan infrastruktur lain selain menyediakan peluang pekerjaan di kelab golf yang bakal dibina.

“Kita juga bercadang memasarkan produk kraftangan masyarakat Orang Asli dan menyediakan tiga premis kedai sebagai pusat jualan bagi membantu menjana pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Jalil, 53, berkata pembangunan itu membuka peluang baharu kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf hidup dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Saya mahu generasi muda masyarakat Orang Asli Bukit Baja mengubah cara pemikiran mengikut peredaran zaman, di samping mengekalkan identiti dan budaya kami,” katanya.

Kawasan pembangunan terlibat dibahagikan kepada dua zon utama meliputi 6.27 ekar (kira-kira 2.53 hektar) bagi pembinaan 56 rumah manakala 2.6 ekar (1.05 hektar) diperuntukkan untuk pembangunan kemudahan sokongan komuniti.

Kemudahan yang dirancang merangkumi pembinaan balai raya, tadika, ruang rawatan, pejabat Tok Batin serta Jawatankuasa Penduduk dan Pembangunan Kampung (JPPK), surau selain tiga unit lot kedai bagi menyokong keperluan sosial dan ekonomi penduduk setempat.

Pada 5 Okt 2025, PKNS telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama masyarakat Orang Asli Bukit Baja bagi menyerahkan surat tawaran penempatan semula yang menjadi sebahagian daripada usaha memastikan proses peralihan dapat dilaksanakan secara telus dan berhemah.

Tawaran dikemukakan PKNS merangkumi pembinaan sebuah rumah bagi setiap keluarga, bantuan RM7,000 untuk kos pemindahan dan perobohan rumah sedia ada, sagu hati RM100,000, pampasan RM200,000 bagi setiap satu ekar tanaman semasa serta sumbangan kepada tabung masyarakat Orang Asli Bukit Baja berjumlah RM3 juta.

Usaha itu ialah komitmen bagi memastikan proses penempatan semula komuniti tersebut dilaksanakan secara teratur dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan, selaras dengan peranannya sebagai pemangkin pembangunan inklusif yang mengambil kira kepentingan komuniti asal dalam kawasan pembangunan baharu seperti Cyber Valley.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan