GUA MUSANG, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi pelaksanaan 37 projek Rukun Tetangga (RT) Progresif di seluruh Kelantan sejak 2024 hingga kini.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Zarina Zakaria berkata projek RT Progresif dilaksanakan melalui pemberian geran sebagai suntikan dana bagi memperkasa projek ekonomi sedia ada yang diusahakan oleh komuniti Rukun Tetangga.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan serta merancakkan ekonomi sara diri masyarakat setempat.
“Peruntukan ini bukan bertujuan sebagai dana permulaan, sebaliknya untuk mengembangkan dan memantapkan peluang ekonomi yang telah wujud dalam komuniti Rukun Tetangga.
“Daripada lapan bidang yang ditetapkan dalam pelaksanaan RT Progresif, dua adalah wajib iaitu komuniti mesti mempunyai projek ekonomi sedia ada serta aktif melaksanakan rondaan sukarela. Bidang lain merangkumi aktiviti sokongan komuniti dan pengukuhan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke projek ternakan rusa di Kampung Kundur, di sini hari ini.
Zarina berkata projek RT Progresif merangkumi pelbagai perusahaan dalam sektor penternakan dan pertanian komuniti, antaranya penternakan rusa, tanaman fertigasi, ayam belanda, lembu, kambing, ikan air tawar serta pengeluaran madu kelulut.
Di daerah Gua Musang, katanya, dua projek RT Progresif sedang dilaksanakan iaitu projek penternakan ikan air tawar di Kampung Batu Papan dan penternakan rusa di Kampung Kundur.
Beliau berharap lebih banyak projek RT Progresif dapat diwujudkan di daerah itu dengan sokongan berterusan daripada pihak berkuasa peringkat daerah dan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial