AM > BERITA

Operasi Penuh Pam Kemubu 3 Dan 4 Tangani Isu Bekalan Air Sawah - KADA

26/01/2026 04:52 PM

KOTA BHARU, 26 Jan (Bernama) -- Stesen Pam Kemubu 3 dan 4 yang dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan diyakini dapat menyelesaikan masalah bekalan air ke sawah yang sering dihadapi petani di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Abd Samad berkata lapan pam di Kemubu 4 dengan kadar aliran air 700 meter padu sesaat mencukupi untuk menyalurkan bekalan ke 16,000 hektar sawah seliaan KADA di jajahan Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Beliau berkata pam di Kemubu 4 direka khas dengan keupayaan menyedut air pada paras serendah satu meter berbanding Kemubu 3 pada paras dua meter dan Kemubu 2 pada paras 3.5 meter.

Ad Banner
Ad Banner

“Berdasarkan ujian percubaan yang dijalankan hari ini, kita yakin masalah kekurangan air dapat diatasi sepenuhnya sekali gus memberi peluang kepada petani meningkatkan hasil pengeluaran,” katanya kepada pemberita sempena Program Ujian Percubaan Pam Kemubu 4 KADA di sini hari ini.

Khalid berkata empat lagi pam dengan spesifikasi sama yang dibina di Lemal akan membekalkan air ke 10,000 hektar sawah KADA di Pasir Mas dan Tumpat, menjadikan keseluruhan 26,000 hektar kawasan seliaan agensi itu menerima bekalan air mencukupi.

Beliau berkata kawasan berkenaan melibatkan kira-kira 4,200 petani yang bergantung sepenuhnya kepada sistem pengairan KADA.

Khalid berkata Kemubu 1 yang dibina lebih 35 tahun lepas oleh pihak British akan disimpan atau dipindahkan ke lokasi lain mengikut kesesuaian memandangkan ia hanya mampu menyedut air pada paras melebihi 4.9 meter, selain berdepan kesukaran mendapatkan peralatan gantian.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya mungkin akan membuka tawaran kepada syarikat baharu bagi menyelesaikan masalah batu hampar di Kemubu 3 yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

“Kita akan berbincang semula dengan syarikat sedia ada yang menguruskan perkara ini kerana masalah tersebut telah lama berlarutan. Sekiranya mereka tidak lagi meneruskan kerja pemecahan batu hampar, kita mungkin membuka tawaran kepada pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan khususnya KADA bagi membangunkan semula kawasan terbiar sebagai kawasan tanaman padi.

Beliau berkata bagi peringkat awal, kira-kira 200 hektar tanah terbiar di Tumpat akan diusahakan menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan