PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Pembinaan infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 sudah mencapai 99.1 peratus dengan 1,646 menara komunikasi baharu telah siap dibina setakat 31 Dis lepas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan di bawah JENDELA Fasa 1, sebanyak 1,661 struktur menara komunikasi baharu dengan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) menerusi pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN), disasar untuk dibina.
Menurut kenyataan, keseluruhan pembinaan menara komunikasi baharu itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.
MCMC memaklumkan, di bawah JENDELA Fasa 1, bilangan premis yang diliputi rangkaian turut meningkat daripada 4.96 juta premis sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat akhir Disember tahun lepas, sekali gus melepasi sasaran sembilan juta premis.
"Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 143.70 Mbps, melepasi sasaran yang ditetapkan.
"Setakat akhir Disember 2025, liputan internet di kawasan berpenduduk telah meningkat daripada 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA, kepada 99.71 peratus," menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan pencapaian itu disokong oleh inisiatif pembangunan rangkaian oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta manfaat perkongsian MOCN.
Bermula Ogos 2025, menurut kenyataan itu setiap MNO telah mengemukakan perancangan penambahbaikan liputan yang dipantau oleh MCMC, disokong oleh Garis Panduan Industri bagi Perkongsian Infrastruktur Rangkaian.
Selain membina menara komunikasi baharu, MCMC memaklumkan pihaknya terus memperkukuh usaha memperluaskan liputan dan kesalinghubungan negara, termasuk penambahbaikan liputan internet di Tujuh Kawasan Tumpuan merangkumi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.
Di IPTA, pemasangan lebih 34,000 titik akses Wi-Fi di 126 kampus universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan penambahan 73,768 titik akses Wi-Fi dirancang bagi memastikan liputan menyeluruh.
Di kem tentera, penyediaan kemudahan gentian optik di 73 kem yang akan memberi capaian Fibre to the Home (FTTH) kepada 59,240 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Sementara di kawasan acara, liputan dan kapasiti rangkaian mudah alih diperluas ke 18 IPTA dan 17 kawasan acara termasuk Sepang Circuit, SPICE Arena Penang, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching
“Pendekatan pelaksanaan bersasar dan berfasa ini membolehkan peluasan liputan internet dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan, termasuk ke kawasan kurang berpenduduk seperti sepanjang jajaran lebuh raya, melalui penggunaan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan setempat atau fit-for-purpose.
“MCMC akan terus memantau pelaksanaan ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan dan berterusan selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial