AM > BERITA

Prestasi Perdagangan Negara, Kemasukan Murid Tahun Satu Pada Usia Enam Tahun Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

27/01/2026 08:33 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Prestasi perdagangan negara bagi tahun 2025 serta kriteria data penentuan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam atau tujuh tahun dan kesediaan kerajaan dalam melaksanakan dasar berkenaan antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) meminta Perdana Menteri menyatakan prestasi dan nilai perdagangan bagi tahun 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan beliau ke luar negara sepanjang tempoh itu pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Datuk Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai rasional dan kriteria data penentuan usia kemasukan murid Tahun Satu sama ada pada usia enam atau tujuh tahun.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau juga ingin tahu apakah tahap kesiapsiagaan kerajaan bagi pelaksanaan dasar itu termasuk implikasi terhadap kebajikan murid.

Pada sesi soal jawab lisan, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) pula meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan punca utama peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia terutama melibatkan penunggang motosikal dan langkah yang diambil kerajaan untuk menanganinya.

Selain itu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah individu yang telah didakwa dan disabitkan dengan kesalahan di bawah Subseksyen 424a dan 424d Kanun Keseksaan bagi memerangi akaun keldai yang terbabit dalam aktiviti penipuan.

Sesi Dewan Rakyat esok juga akan menyaksikan upacara mengangkat sumpah Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu Mohd Kurniawan Naim Moktar selepas calon Barisan Nasional itu menang dalam Pilihan Raya Kecil pada Sabtu lepas.

Dewan Rakyat seterusnya akan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula minggu lepas susulan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 19 Jan.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan kali ini berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan