LABUAN, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang mengusahakan penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang bagi menangani gangguan bekalan air berpanjangan di Labuan dengan mengenal pasti serta membangunkan sumber alternatif untuk memperkukuh kelestarian dan daya tahan pulau berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kebergantungan tinggi Labuan terhadap bekalan air terawat dari Sabah telah mendedahkan pulau itu kepada gangguan bekalan berulang khususnya ketika berdepan keadaan cuaca buruk.
Beliau berkata Labuan kini bergantung kepada bekalan air yang dirawat di Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Beaufort, Sabah yang disalurkan ke pulau itu melalui paip dasar laut sepanjang 25.7 kilometer.
“Labuan perlu memiliki sumber air sendiri bagi memastikan kelestarian jangka panjang... kita juga perlu mempunyai simpanan sebagai langkah persediaan jika berlaku gangguan bekalan akibat cuaca buruk di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek bekalan air yang telah siap di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata PETRA akan melaksanakan projek perintis bagi mengenal pasti sumber air alternatif untuk kegunaan domestik dan industri.
Antara pilihan yang sedang dikaji ialah penyahgaraman air laut namun beliau memaklumkan kaedah itu masih melibatkan kos tinggi dan belum ekonomik untuk dilaksanakan pada peringkat ini.
Beliau berkata perunding akan dilantik bagi menjalankan pemetaan terperinci dan kajian kebolehlaksanaan termasuk penilaian terhadap potensi sumber air bawah tanah bagi membangunkan penyelesaian bekalan yang menyeluruh serta berdaya tahan untuk Labuan.
Fadillah berkata ketika ini, sebanyak 13 projek tambahan di bawah pelan bekalan air jangka sederhana dan jangka panjang sedang dilaksana di pelbagai peringkat termasuk Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan Pendekatan 1 Fasa 2, dengan jumlah kos dianggarkan melebihi RM470 juta.
“Projek-projek ini penting bagi menggantikan paip air lama dan uzur, memperkukuh sistem pengagihan, meningkatkan kapasiti seterusnya mengurangkan NRW bagi memastikan bekalan air bersih yang berterusan kepada semua penduduk,” katanya.
Beliau berpuas hati dengan penyiapan projek yang diserahkan hari ini serta kemajuan kerja-kerja yang sedang dilaksana, dan memaklumkan bahawa permohonan untuk menyediakan tangki simpanan air tambahan di kampung serta kawasan perumahan terjejas akan diberi pertimbangan sewajarnya.
Fadillah juga berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan akses sejagat kepada air bersih serta perkhidmatan air berkualiti selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 6 dan Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040.
“Saya memahami kesukaran yang dihadapi oleh hampir 16,000 penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air baru-baru ini... tindakan pemulihan segera telah dilaksanakan secara berperingkat oleh Jabatan Bekalan Air Labuan, dan bekalan air telah pulih sepenuhnya pada 21 Jan 2026,” katanya.
Walaupun insiden itu berpunca daripada faktor semula jadi yang tidak dapat dielakkan, beliau berkata ia menjadi peringatan penting kepada kerajaan untuk terus mempertingkat tahap kesiapsiagaan dan memperkukuh daya tahan sistem bekalan air Labuan demi melindungi kesejahteraan rakyat.
Fadillah turut mengimbas kembali lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Labuan dari 31 Mac hingga 2 April 2023, yang menyaksikan Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur awam khususnya bagi memastikan bekalan air bersih yang mencukupi kepada penduduk.
Beliau berkata semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Dis 2023, arahan telah dikeluarkan supaya pelaksanaan projek-projek air dipercepat terutama melibatkan isu kritikal jangka pendek yang menjejaskan bekalan air di Labuan.
Susulan lawatan itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta di bawah Belanjawan 2024 bagi menangani isu bekalan air di Labuan, dengan Jabatan Bekalan Air di bawah PETRA diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek-projek yang telah dikenal pasti.
Fadillah juga berkata kesemua inisiatif ini dirancang bagi memastikan kelestarian jangka panjang dan bekalan air bersih yang tidak terganggu untuk seluruh penduduk Wilayah Persekutuan Labuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial