AM > BERITA

Mempertahankan Keamanan Bukan Mudah, Namun Penting Demi Masa Depan - Kulasegaran

28/01/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Keamanan bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan, namun kehidupan manusia sejagat akan memperoleh manfaat yang besar sekiranya setiap individu mampu hidup bersama secara harmoni walaupun berbeza latar belakang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata konflik dan perselisihan jelas berlaku di hampir setiap benua hari ini, sekali gus menuntut kepentingan perpaduan serta saling memahami untuk memelihara keamanan global.

“Apabila kita tengok dunia hari ini, kita dapat melihat konflik dan perselisihan di hampir setiap benua. Namun, sekiranya kita dapat mencari jalan untuk hidup bersama secara harmoni, umat manusia akan memperoleh manfaat yang amat besar,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Kulasegaran berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook susulan ucapan penutupnya pada Program Penggerak Keamanan Belia ASEAN Rotary (RAYPP) 2026 yang berlangsung di Universiti Sunway, Petaling Jaya yang menghimpunkan 33 belia dari 11 negara.

Dalam ucapannya, beliau berkata para peserta bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik atau kerjaya profesional, sebaliknya turut dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan bagi menjamin masa depan kehidupan yang sejahtera melalui keamanan.

Mengimbas penubuhan ASEAN pada 1967, Kulasegaran berkata keputusan untuk mewujudkan perpaduan dibuat walaupun terdapat sejarah konflik dalam kalangan negara berjiran.

“Kita mempunyai sejarah dan konflik dengan negara jiran. Namun, kita memilih perdamaian. Hari ini, terpulang kepada generasi muda untuk memperkukuh persefahaman itu dan membuktikan bahawa keamanan jauh lebih penting daripada apa jua perkara lain di dunia ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Rotary Ipoh Tengah, Rotary District 3300, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Universiti Sunway atas kejayaan menganjurkan program selama 12 hari itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan