Oleh Hasnah Jusid dan Nur Fatin Mohmad Kadenen
Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang bermula tahun lepas dilihat selari dengan Reformasi Sekolah Kebangsaan di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035. Laporan ini merupakan bahagian akhir daripada lima siri yang mengupas pencapaian, pelaksanaan serta hala tuju SRBJ di Johor.
JOHOR BAHRU, 29 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dilihat selari dengan Reformasi Sekolah Kebangsaan di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, khususnya inisiatif pemilihan lima Sekolah Kebangsaan (SK) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai sekolah inspirasi.
Profesor di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Fatin Aliah Phang, yang terlibat secara langsung dalam pembangunan dan pemantauan pelaksanaan SRBJ sejak peringkat awal berkata pendekatan reformasi yang diperkenalkan di peringkat nasional itu pada asasnya hampir sama dengan apa yang telah dilaksanakan menerusi SRBJ.
Beliau berkata fokus utama Reformasi Sekolah Kebangsaan yang meliputi kecekapan pengurusan sekolah, peningkatan prasarana, mutu pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan STEM tidak ubah seperti teras SBRJ kecuali penekanan kepada bahasa Melayu.
“Ini menunjukkan hala tuju yang diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah selari dengan apa yang telah SRBJ laksanakan di Johor. Apa yang SRBJ buat sama sahaja dengan pendekatan ini. Bezanya, SRBJ telah dilaksanakan lebih awal dan ia tidak mengubah dasar pendidikan sedia ada,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Dilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 2024, penguasaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Melayu, penguasaan STEM, kebolehpasaran serta sahsiah murid dan pentaksiran kompetensi murid yang standard bertaraf antarabangsa.
Empat sekolah dipilih sebagai SRBJ bermula sesi persekolahan 2025/2026, iaitu SMK Seri Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang serta SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru, menerusi kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
Fatin Aliah berkata SRBJ telah dimulakan lebih awal sebelum KPM mengumumkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, sekali gus meletakkan inisiatif itu selangkah di hadapan daripada pelaksanaan nasional.
Beliau yang juga Felo di Akademi Sains Malaysia bagaimanapun berkata SRBJ kekal sepenuhnya dalam kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan, tidak memperkenalkan aliran baharu, tidak mengubah kurikulum kebangsaan dan tidak menjejaskan Akta Pendidikan 1996.
Apa yang membezakan SRBJ ialah sokongan yang lebih menyeluruh seperti penambahbaikan infrastruktur, latihan profesional guru secara berfokus, bimbingan pakar serta pemantauan berterusan. Semua ini dilaksanakan tanpa keluar daripada kerangka dasar KPM,” katanya.
Fatin Aliah ketika mengulas keberkesanan pelaksanaan SRBJ berkata kesan positif mula dilihat seawal 2025 apabila keyakinan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah terlibat menunjukkan peningkatan yang ketara dan momentum itu terus berlanjutan sehingga 2026.
“Apabila ibu bapa melihat perubahan sebenar dari segi pengurusan sekolah, kualiti pengajaran dan persekitaran pembelajaran, keyakinan mereka semakin meningkat,” katanya.
Fatin Aliah berkata UTM berperanan sebagai rakan strategik dari sudut kepakaran akademik, khususnya dalam aspek perancangan, latihan dan pemantauan pelaksanaan di peringkat sekolah.
Beliau berkata pensyarah UTM turut terlibat secara langsung dalam memberi bimbingan berterusan kepada guru melalui pencerapan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, penilaian perancangan pengajaran harian serta pemberian maklum balas penambahbaikan.
Menurut Fatin Aliah, semua bentuk sokongan yang disalurkan adalah bertujuan memperkukuh kualiti pelaksanaan pengajaran tanpa menjejaskan struktur atau dasar pendidikan sedia ada.
Setakat ini, sebanyak 90 guru SRBJ telah dihantar menjalani latihan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Singapura.
Beliau berkata SRBJ boleh dilihat sebagai rujukan awal kepada usaha memperkukuh sekolah kebangsaan dan menjadi contoh bagaimana sokongan pelaksanaan yang tersusun mampu memberi kesan positif kepada sistem pendidikan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini berkata secara keseluruhan, projek SRBJ melibatkan peruntukan RM54 juta, dengan RM31.22 juta diperuntukkan bagi Fasa Satu dan RM22.78 juta bagi Fasa Dua, merangkumi kerja naik taraf infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi.
Onn Hafiz berkata inisiatif itu membuktikan sekolah harian mampu mencapai kecemerlangan bertaraf tinggi melalui perancangan tersusun dan pelaksanaan berfokus dan bukti kesungguhan kerajaan negeri memastikan pendidikan berkualiti dinikmati semua pelajar, sekali gus menjadikan Johor peneraju pendidikan sekolah harian bertaraf tinggi.
-- BERNAMA : SRBJ, sekolah, UTM, Kementerian Pendidikan
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial