AM > BERITA

Penetapan Kadar Tambang ECRL Akan Dibuat Berdasarkan Kajian Menyeluruh - Loke

29/01/2026 04:02 PM

KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) -- Penetapan kadar tambang perjalanan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dibuat berdasarkan kajian menyeluruh oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata kadar tambang perlu ditentukan melalui kajian terperinci dan akan diumumkan beberapa bulan sebelum operasi bermula. 

“Pada masa ini, kementerian menumpukan kepada kerja-kerja pembinaan dan pemasangan bagi memastikan projek disiapkan sepenuhnya mengikut jadual. Fasa ujian serta pentauliahan merupakan aspek penting yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum penetapan kadar tambang,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Loke berkata demikian selepas melawat Feeder Station 01 dan Stesen ECRL Kota Bharu, di sini hari ini. 

Pembinaan ECRL sepanjang 665 kilometer (km) mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 90.81 peratus setakat Disember 2025, sekali gus mengatasi sasaran projek sebanyak 90 peratus.

Pencapaian itu disokong oleh penyiapan kerja pengorekan kesemua 14 terowong, pemasangan lebih 500 km landasan serta pemasangan lebih 12,000 tiang Overhead Catenary System (OCS) bagi bekalan aliran elektrik.

Beliau berkata pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.06 peratus setakat Disember 2025 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2026.

Pembinaan Stesen Kota Bharu di atas tanah seluas 20.94 hektar itu menampilkan reka bentuk berteraskan konsep Rumah Meleh Melayu dan Bunga Ketam Guri, selain dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk 500 petak tempat letak kereta, kawasan mengambil dan menurunkan penumpang, laluan pejalan kaki berbumbung serta kuarters pekerja serta kru kereta api.

Bekalan elektrik 132 kilovolt dari Pencawang Masuk Utama ke Feeder Station 01 telah berjaya diaktifkan lebih awal daripada jadual. 

Loke berkata kementerian berpuas hati dengan kemajuan pembinaan jajaran ECRL sepanjang 43 km di Kelantan yang telah mencapai 96.67 peratus setakat Disember 2025, melibatkan pembinaan Stesen Kota Bharu di Tunjong bagi kegunaan penumpang dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli bagi tujuan penumpang serta kargo.

Berikutan itu, beliau berkata ECRL akan menerima 11 set kereta api, masing-masing mengandungi enam gerabak, dalam tempoh dua minggu, dengan kemudahan berkenaan akan diperkenalkan di Kuantan, Pahang.

Loke berkata kementerian yakin fasa ujian dan pentauliahan secara menyeluruh projek ECRL dapat dilaksanakan bermula Jun 2026 bagi memastikan sistem beroperasi dengan lancar dan selamat.

“Kementerian juga optimis jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan menjelang Disember ini seperti dijadualkan, manakala perkhidmatan komersial ECRL dijangka beroperasi bermula Januari 2027,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan