AM > BERITA

PROFIMA Harap MPG Tangani Isu Kebajikan, Kadar Upah Pekerja Gig Dalam Industri Perfileman

29/01/2026 06:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) berharap Majlis Perundingan Gig (MPG) dapat memainkan peranan dalam menangani isu kebajikan dan kadar upah pekerja gig di dalam industri perfileman yang masih berada pada tahap tidak memuaskan.

Presiden PROFIMA Khalil Saleh berkata walaupun industri filem berpotensi besar namun kadar upah pekerja sudah lama tidak disemak dan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata kewujudan MPG yang mengamalkan pendekatan tripartit membabitkan wakil pekerja gig, entiti kontrak dan kerajaan diyakini mampu membawa perubahan sistemetik, realistik serta mampan termasuk penetapan kadar upah yang lebih wajar.

Ad Banner

"Industri perfileman dan seni punya potensi yang sangat besar... Kerajaan MADANI juga menggariskan perancangan besar dinamakan Ekonomi Jingga namun kami harapkan Akta Pekerja Gig, melalui MPG, dapat seiring dengan kehendak dan perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 ini supaya lebih relevan dan realistik terutama kadar upah bagi sektor pekerja filem dan seni Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khalil berkata PROFIMA menyokong komitmen Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri R Ramanan untuk menambah baik ekosistem pekerja gig selaras dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025.

Beliau berkata sebagai langkah proaktif, PROFIMA telah menganjurkan sesi meja bulat melibatkan penggiat industri perfileman daripada pelbagai kepakaran dan kategori kerjaya termasuk kru teknikal, tenaga kreatif serta profesional bebas industri. 

Khalil berkata dapatan dan resolusi daripada sesi itu akan dikemuka secara rasmi kepada KESUMA sebagai input industri berasaskan fakta serta realiti di lapangan.

“PROFIMA berharap usaha ini dapat diteruskan secara konsisten dengan semangat kerjasama yang tinggi demi memastikan pekerja bebas sektor perfileman dan seni tidak terpinggir sebaliknya terlibat secara aktif dan bermakna dalam proses perundingan nasional melalui MPG.

“Persatuan kekal komited untuk memainkan peranan sebagai rakan strategik industri dan kerajaan dalam membina ekosistem perfileman serta seni yang lebih adil, mampan dan berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan