AM > BERITA

Peniaga Kuih Akok Lapan Perisa Rancang Hasilkan Produk Sejuk Beku

30/01/2026 03:01 PM

JERTIH, 30 Jan (Bernama) -- Permintaan tinggi terhadap kuih akok lapan perisa yang dihasilkan selama ini mendorong seorang pengusaha menyimpan hasrat memasarkan sajian tradisional itu dalam versi sejuk beku suatu hari nanti.

Pengusaha Akok Jertih Lapan Perisa di Kampung Gong Kemuntong di sini, Mohamad Affendy Aziz, 35, berkata selama ini, pelbagai pihak termasuk yang berada di luar negara menyuarakan keinginan untuk merasai akok pelbagai perisa yang dihasilkannya, namun kuih itu tidak dapat bertahan lama. 

“Sehubungan dengan itu, saya akan mencari teknik untuk menghasilkan akok sejuk beku tanpa  menghilangkan rasa dan tekstur asalnya.

Ad Banner
Ad Banner

“Saya merancang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahir dalam proses ini,” katanya ketika ditemui di gerai jualan Akok Jertih Lapan Perisa miliknya di sini.

Mohamad Affendy berkata sekiranya hasrat itu menjadi kenyataan, dia akan dapat meluaskan pasaran akok dan meningkatkan nilai jualan, selain memberikan peluang kepada lebih ramai pelanggan menikmati akok pelbagai rasa itu. 

Perniagaan Akok Jertih Lapan Perisa katanya, kini semakin dikenali bukan sahaja dalam kalangan penduduk Besut dan Terengganu, tetapi juga ramai pengunjung dari luar Terengganu akan singgah di premis jualannya untuk merasai kuih yang dihasilkan dengan lapan jenis perisa, iaitu pandan, asli, red velvet, coklat, durian, serunding daging, pisang, dan akok bahulu. 

“Akok perisa red velvet dan coklat kini merupakan antara yang terlaris. Selain itu, kita juga menghasilkan gabungan tiga rasa dalam sebiji kuih akok, iaitu red velvet, coklat dan pandan. Alhamdulillah, variasi ini juga dapat menambat hati ramai pelanggan sehingga ada yang datang dari jauh semata-mata untuk merasai kuih akok kami,” katanya yang mempunyai empat pekerja. 

Dia yang mengusahakan kuih akok bersama dengan ibu mentuanya Ropuan Amit, 45, sejak 2017 berkata kini, juadah tradisi yang disediakan dan dimasak di premisnya itu terjual hingga 6,000 biji sehari, terutama pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. 

Katanya, kuih yang biasanya dibuat menggunakan telur, santan, tepung, dan gula itu diolahnya dengan pelbagai perisa moden yang digemari pelbagai lapisan masyarakat di samping mengekalkan resipi asal. 

“Saya mengambil inspirasi daripada warisan keluarga saya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan yang mengusahakan jualan kuih tradisional itu sejak 1992 lagi. 

“Jadi, saya bersama-sama ibu mentua memulakan perniagaan ini di sebuah gerai kecil di belakang Masjid Hadhari di Jertih dengan jualan akok perisa asli dan pandan sebelum dikembangkan kepada perisa lain,” katanya. 

Bapa kepada tiga anak itu juga bersyukur kerana perusahaan kuih akok lapan perisa itu mempunyai sebuah lagi cawangan di Manjung, Perak yang diuruskan oleh adiknya Aiman Aziz, 23. 

Mohamad Affendy berkata selain jualan di gerai tetap, dia juga menyertai pelbagai karnival bergerak di negeri-negeri bagi mempromosikan lagi akok keluarannya itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan