AM > BERITA

UPSI Tubuh Galeri Razak Sensei, Rakyat Malaysia Terselamat Tragedi Bom Atom Hiroshima

31/01/2026 10:38 AM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan Galeri Razak Sensei di bawah kelolaan Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Institut Peradaban Melayu (IPM) sebagai inisiatif menterjemahkan nilai, sejarah dan kemanusiaan sejagat dalam pembinaan jiwa pendidik merentas generasi.

Razak Sensei atau Datuk Abdul Razak Abdul Hamid ialah rakyat Malaysia tunggal yang terselamat dalam kejadian pengeboman bom atom di Hiroshima pada 1945 dan antara pelajar awal Sultan Idris Training College (SITC) yang menjadi asas penubuhan UPSI. 

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata galeri itu dijadualkan dibuka kepada umum pada Mac, melibatkan pameran memorial dan pendidikan yang mengangkat ketokohan Razak Sensei sebagai pendidik unggul, selain simbol ketahanan jiwa, kelestarian ilmu serta kemanusiaan sejagat.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata tragedi bom atom Hiroshima menjadi peristiwa kemanusiaan yang membentuk keteguhan jiwa serta komitmen mendalam Razak Sensei terhadap keamanan dunia dan pendidikan sebagai medium pemulihan pascakonflik.

“Trauma peperangan tidak mematahkan semangat Razak Sensei, sebaliknya melahirkan seorang pendidik yang menjadikan pendidikan sebagai jalan penyembuhan, pembangunan insan serta keamanan sejagat. 

“Selain itu, Razak Sensei berperanan sebagai antara penggerak awal hubungan Malaysia dan Jepun pascaperang melalui pendidikan dan pertukaran budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Md Amin berkata inisiatif MPN mewujudkan galeri itu juga mencerminkan komitmen universiti terhadap pendidikan berkualiti, keamanan dan kemanusiaan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Beliau berkata usaha penubuhan galeri itu mendapat sokongan penuh waris Allahyarham, khususnya Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak yang menyumbang artifak dan bahan pameran asli merangkumi dokumen peribadi, foto sejarah, manuskrip penulisan serta koleksi buku Razak Sensei.

Sementara itu, Pengarah IPM Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata pembabitan langsung waris Razak Sensei memastikan galeri itu dapat dibangunkan berasaskan sumber primer yang sahih dan berautoriti.

Beliau berkata Galeri Razak Sensei bukan sekadar ruang pameran tetapi arkib hidup yang memindahkan nilai pendidikan berkualiti, keamanan, ketahanan jiwa dan kemanusiaan melalui legasi seorang pendidik.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan