Oleh Yasmin Ahmad Zukiman
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Langkah kerajaan untuk mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara berkuat kuasa pada 1 Mac ini, ialah satu anjakan strategik dalam memastikan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasar secara lebih efektif.
Pewartaan larangan berkenaan bukan sahaja bertujuan mengurangkan ketirisan bekalan yang sering dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, tetapi juga menjadi mekanisme penting bagi memastikan kestabilan stok barangan keperluan asas itu dalam pasaran.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin menyokong penuh inisiatif tersebut dan berpendapat langkah pewartaan itu mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh golongan peruncit selama ini.
“Sudah tentu kita di Mydin menyambut baik pengumuman kerajaan kerana selama ini minyak masak peket menjadi satu masalah untuk semua peruncit kerana barang tidak mencukupi dan kita pula terpaksa terhadkan kepada pelanggan.
“Bukan sahaja Mydin, tetapi saya rasa semua peniaga memang sudah lama menunggu keputusan kerajaan kerana dengan pewartaan larangan itu, kita dapat mengatasi masalah penyelewengan minyak masak dan hanya mereka yang benar-benar layak dapat membeli,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Ameer Ali turut memuji keberkesanan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang mampu menentukan kelayakan pembeli berdasarkan data kerajaan, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak berhak.
Beliau berkata sistem digital lebih memudahkan urusan operasi pasar raya berbanding kaedah manual dengan pihak peruncit hanya berpandukan pangkalan data yang disediakan kerajaan.
Ameer Ali turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI kerana berjaya menyelesaikan pelbagai isu rantaian bekalan barangan dan keperluan rakyat menerusi pelbagai mekanisme lain sebelum ini dengan berkesan.
Hal ini termasuk penyasaran subsidi elektrik, diesel, pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi RON95 yang dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini memaklumkan akan mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara mulai 1 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata peraturan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dengan punca kuasa Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut Armizan, peruntukan undang-undang berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan, dengan langkah itu akan memastikan barangan subsidi hanya dimanfaatkan warganegara dan tidak kepada warga asing.
Selain itu, Armizan berkata KPDN juga sedang dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mengintegrasi platform MyKasih sebagai antara opsyen pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh rakyat.
Beliau berkata kejayaan penggunaan MyKad bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 menjadi rujukan KPDN dalam pelaksanaan cadangan menggunakan kad pengenalan sebagai opsyen pembelian minyak masak peket bersubsidi.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) Yong Eng Kwang turut menyambut baik usaha KPDN untuk mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak itu kepada bukan warganegara yang membolehkan peruncit mempunyai asas perundangan jelas untuk menghalang penjualan kepada warga asing.
“Kerajaan telah memperuntukkan kuota sebanyak 60 juta peket minyak masak subsidi sebulan bagi kegunaan warga tempatan dan pewartaan larangan ini memberikan kejelasan undang-undang dan dasar yang sangat penting untuk peruncit menjual kepada warga tempatan sahaja," kata Yong yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad.
Beliau berkata peruncit sering berdepan dengan situasi sukar dan pertelingkahan di kaunter bayaran kerana ketiadaan peraturan bertulis yang jelas, dan apabila warta itu dikuatkuasakan, petugas peruncit hanya perlu mematuhi undang-undang sedia ada, sekali gus mengurangkan konflik dengan pelanggan dan membantu mengekang ketirisan subsidi.
Pada masa sama, Yong menyifatkan sistem eCOSS yang digerakkan KPDN sebagai satu langkah berjaya memandangkan sistem berkenaan membolehkan rantaian bekalan dijejak secara menyeluruh daripada kilang, pembungkus semula, pemborong sehinggalah peringkat peruncit.
MRA juga katanya, menyokong penuh pengumuman Armizan mengenai cadangan untuk mengintegrasikan sistem eCOSS dengan sistem MyKasih serta penggunaan kad pengenalan baharu yang dilengkapi ciri kod respons pantas (QR), dengan langkah itu mampu menyeragamkan proses jualan di semua premis peruncitan secara lebih telus.
Reaksi positif turut dikongsi pengarah syarikat swasta M. Mavalavan, 53, yang menyifatkan langkah pewartaan itu sebagai tindakan yang adil buat pembayar cukai dan rakyat tempatan.
Beliau berpendapat bahawa dengan adanya penguatkuasaan yang tegas melalui pewartaan itu, rakyat tidak perlu lagi bimbang terhadap isu kekurangan bekalan minyak masak peket yang sering berlaku dalam pasaran sebelum ini.
“Bagi saya ini satu langkah yang baik dan saya sangat menyokong ketegasan kerajaan untuk melindungi hak warganegara. Tidak sepatutnya warga asing mengambil kesempatan atas barangan subsidi yang disediakan kepada rakyat, lebih-lebih lagi kepada golongan B40,” katanya.
Selain itu, suri rumah Nurul Jannah Mustapha, 29, berkata menerusi pelaksanaan tersebut, rakyat tidak perlu khuatir terhadap bekalan dan kekurangan stok minyak masak kerana penguatkuasaan yang ketat mampu menutup ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Langkah pewartaan itu juga katanya, memberikan satu jaminan sosial kepada golongan berpendapatan rendah, selain berharap pihak berkuasa dapat mengekalkan momentum pemantauan secara konsisten di setiap premis perniagaan.
Sememangnya, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ini sejajar dengan hasrat dan hala tuju KPDN bagi 2026, iaitu KPDN K.I.T.A: Memaknai Aspirasi Rakyat.
Memetik perkongsian Armizan melalui Facebook beliau pada 21 Jan lepas, KPDN akan meneruskan kesinambungan pelaksanaan hala tuju KPDN K.I.T.A. yang bermula sejak 2024, dengan gerak kerja 2026 dianjakkan menerusi penetapan tiga indikator utama bagi memastikan aspirasi rakyat benar-benar dimaknai dan diterjemahkan secara menyeluruh.
Beliau berkata tiga indikator berkenaan merangkumi blueprints (dasar, pelan strategik dan belanjawan) yang diterjemahkan kepada footprints (inisiatif, program dan penguatkuasaan), seterusnya menghasilkan imprints (petunjuk prestasi, kestabilan harga dan penyertaan rakyat) sebagai manfaat nyata yang dapat dirasai oleh rakyat.
“Pendekatan ini memastikan setiap perancangan yang didengar dan dirangka melalui pelbagai pelan tindakan tidak terhenti di atas kertas, sebaliknya dizahirkan melalui tindakan yang boleh dilihat serta impak yang boleh dirasai oleh rakyat,” katanya.
Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dan KPDN dalam menterjemahkan dasar kepada tindakan nyata yang memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, langkah ini berupaya mengekang ketirisan dan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi, sekali gus memastikan manfaat subsidi benar-benar dinikmati oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial