AM > BERITA

PM Anwar Ucap Selamat Hari Wilayah, Tekankan Pembangunan Saksama

01/02/2026 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Setiap usaha pembangunan perlu dilaksanakan secara saksama agar hasil kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa ada kelompok yang tercicir, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan hari ini, beliau berkata pembangunan negara tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan pencapaian fizikal dengan bangunan tinggi, kemajuan infrastruktur serta kemodenan prasarana, sebaliknya perlu menyentuh kehidupan serta kebajikan rakyat.

“Setiap langkah ke hadapan berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner

“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata semangat ihsan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan.

“Selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan