MUAR, 1 Feb (Bernama) -- Penggunaan telaga tiub atau tube well akan menjadi alternatif dalam usaha memadamkan kebakaran tanah gambut yang melibatkan ladang kelapa sawit seluas 18 hektar di Batu 13/14, Mukim Ayer Hitam, di sini, yang berlaku sejak semalam.
Ketua Bomba Zon 4 Penguasa Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi pelaksanaan kaedah berkenaan, berikutan kekurangan sumber air di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, kita telah mendapat bekalan air dari dua lori tangki air Ranhill SAJ dan satu lori tangki air daripada Majlis Perbandaran Muar. Kita jangkakan juga keluasan kebakaran akan meningkat hari ini disebabkan angin kuat serta cuaca yang panas dan kering,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata dua sektor kebakaran baharu dibuka hari ini membabitkan Sektor C dan D.
“Setakat ini, 40 peratus kebakaran di Sektor C telah berjaya dipadamkan, manakala Sektor D mencatat 10 peratus pemadaman. Sektor B telah dipadamkan sepenuhnya, manakala 60 peratus kebakaran di Sektor A telah berjaya dikawal,” katanya.
Nor Shuhada berkata kebakaran masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya disebabkan struktur tanah gambut yang kompleks, kekurangan sumber air, cuaca panas, serta angin yang menyebabkan api terus merebak di bawah permukaan tanah.
Sementara itu, Pengarah JMG Johor Noorazhar Ngatimin berkata telaga tiub yang paling hampir terletak di kawasan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Ayer Hitam manakala dua lagi terletak di Parit Jono dengan kesemua telaga tersebut kini berada dalam keadaan sedia digunakan.
“Setakat ini, telaga berkenaan belum diaktifkan kerana menunggu arahan rasmi. Jika diperlukan, telaga ini akan digunakan, namun buat masa ini pihak berkuasa menggunakan alternatif lain,” katanya.
Beliau berkata apabila berlaku kebakaran, air dari telaga ini boleh digunakan untuk pemadaman serta membasahkan kawasan terbakar bagi mengekang perebakan api.
Nor Shuhada berkata telaga-telaga ini dibina khas di kawasan yang kerap berlaku kebakaran tanah gambut bagi memastikan sumber air sentiasa tersedia ketika operasi kecemasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial