AM > BERITA

Pameran 'Tunku Negarawan Ulung: Pengasas Negara Bangsa' Kini Dibuka Di Muzium Negara

03/02/2026 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Pameran “Tunku Negarawan Ulung: Pengasas Negara Bangsa” kini dibuka kepada orang ramai bermula 1 Feb hingga 29 Mac ini di Muzium Negara, sebagai usaha memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah pembinaan negara dan asas perpaduan nasional.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pameran anjuran Arkib Negara itu menyorot peranan besar Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang meletakkan asas pembentukan negara berteraskan persefahaman, toleransi, keadilan dan muafakat antara kaum.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pemahaman terhadap sejarah dan legasi negarawan terdahulu amat penting dalam membentuk peradaban serta memperkukuh pembinaan negara pada masa hadapan.

Ad Banner
Ad Banner

“Generasi muda khususnya perlu mengenali dan menghayati nilai kepimpinan, kebijaksanaan serta semangat perpaduan yang diwariskan oleh Tunku Abdul Rahman agar negara terus dibina atas asas keharmonian,” katanya dalam kenyataan sama.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan Tunku Abdul Rahman bukan sahaja membawa negara mencapai kemerdekaan, malah membentuk kerangka pentadbiran dan pembangunan rakyat dalam masyarakat majmuk yang harmoni.

Pameran itu dibuka mulai 9 pagi hingga 5 petang, menampilkan pelbagai bahan arkib dan dokumentasi sejarah yang berfungsi sebagai medium pendidikan awam bagi menyemai semangat patriotisme.

Orang ramai khususnya golongan belia dan pelajar, dijemput hadir bagi menghayati sejarah serta mengambil iktibar daripada legasi pembinaan negara bangsa yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan