IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Cuaca panas dan ketiadaan hujan berpanjangan dipercayai menjadi antara punca utama penyusutan paras air Sungai Perak di kawasan Tanjung Belanja, Parit, sekali gus memberi kesan kepada nelayan dan petani di kawasan berkenaan.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Talang Tasik, Tanjung Belanja, Ali Aznan Yaakub berkata paras air sungai itu mula menunjukkan penurunan ketara lebih dua minggu lepas apabila tidak menerima hujan hampir tiga minggu.
“Dekat kawasan sini memang lama tak hujan, mungkin ada tetapi hanya dua tiga hari lepas, itu pun sekejap saja dan tidak kena kawasan kami dan disebabkan itu air sungai masih surut.
“Tahun-tahun lepas ada juga air surut, tapi tidaklah seteruk ini, kali ini pasir nampak banyak dan jelas, terutama dekat kawasan jambatan sehingga menyebabkan aktiviti menangkap ikan dan udang terpaksa dihentikan nelayan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Sungai Perak di kawasan itu menjadi sumber pendapatan sampingan nelayan kecil dari beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Tepus, Copin dan Kampung Tua, yang bergantung kepada sungai untuk menambah rezeki.
Sementara itu, Pengurus Perniagaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gunung Semanggol dan Selinsing, Roslina Mustafa turut menyuarakan kebimbangan apabila pesawah dan petani di kawasan berkenaan mengalami masalah air di kawasan pertanian mereka.
“Kemarau berpanjangan sejak hujung tahun lepas terus menjejaskan pesawah di kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing sebab penyusutan paras air dekat Kolam Bukit Merah.
“Kekurangan hujan yang berlarutan sejak November tahun lalu menyebabkan bekalan air ke petak sawah semakin berkurangan,” katanya.
Beliau berkata bagi menangani perkara itu pihak berkuasa menetapkan jadual pengairan, namun bekalan air yang diagihkan secara berperingkat masih belum mencukupi untuk menampung keperluan semua kawasan sawah, khususnya di kawasan lebih tinggi.
“Hanya kawasan rendah di sekitar Selinsing dan sebahagian Semanggol yang masih menerima air, manakala petani di kawasan lain terpaksa bergantung kepada pam bagi mengalirkan air ke petak sawah masing-masing.
“Kemarau yang berlarutan ini bukan sahaja menjejaskan proses penanaman padi, malah memberi kesan kepada keadaan tanah sawah yang tidak rata apabila jentera berat digunakan dalam keadaan kering memberi kesan kepada sawah,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah memohon pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA).
Operasi itu perlu dilaksanakan segera khususnya di sekitar Tasik Temengor dan Empangan Bukit Merah sebagai langkah mitigasi strategik bagi meningkatkan peluang hujan, seterusnya mengelak gangguan bekalan air pengairan dan domestik sekiranya keadaan kemarau berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial