Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Tolak Ansur Spesifikasi, Keselamatan Projek LCS - Adly

05/02/2026 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (Mindef) memberikan jaminan tidak akan bertolak ansur dari segi spesifikasi pengoperasian dan teknikal, serta keselamatan dalam pelaksanaan projek kapal tempur pesisir (LCS) sebelum kapal berkenaan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementerian kekal tegas bahawa aspek operasi dan keselamatan anggota tidak boleh dikompromi bagi memastikan aset berkenaan memenuhi keperluan operasi, meskipun berdepan cabaran kelewatan sebelum ini termasuk pindaan jadual penyerahan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata persepsi bahawa tiada kemajuan dicapai dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini adalah tidak tepat memandangkan pembinaan, ujian di pelabuhan serta persediaan ujian di laut dilaksanakan mengikut pelan pemulihan projek kapal tempur itu.

Ad Banner

“Hingga 25 Dis lepas kemajuan keseluruhan projek LCS telah mencapai 75 peratus berbanding 81.57 peratus mengikut perancangan asal.

“Walaupun terdapat jurang antara kemajuan sebenar dan jadual asal, usaha pemulihan terus dilaksanakan secara berfasa dan berfokus bagi memastikan kapal disiapkan mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Mindef di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly memaklumkan kapal pertama (LCS 1) dijadual menjalani ujian di laut pada April 2026, dan jadual penyerahannya dipinda dari Disember 2025 kepada Disember 2026, manakala LCS 2 kepada Ogos 2027.

Mengulas dakwaan campur tangan dalam pelaksanaan projek, beliau menegaskan tiada sebarang campur tangan yang boleh memanipulasi pelaksanaan atau pelaporan projek ketika ini.

Pelaksanaan projek turut mengambil kira pandangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini, dan jawatankuasa pemantauan khas telah ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memastikan aspek teknikal serta kewangan diurus secara teliti.

Beliau turut menjelaskan walaupun terdapat pendakwaan dan siasatan berkaitan projek LCS, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih diteruskan dan kementerian sentiasa memberikan kerjasama penuh.

“Tanggungjawab asas kita adalah untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek LCS ini di samping bekerjasama dengan SPRM dalam segala bentuk siasatan,” katanya.

Adly berkata keseluruhan proses perolehan kerajaan dilaksanakan berlandaskan prinsip ketelusan, integriti, akauntabiliti dan nilai untuk wang melalui mekanisme semak dan imbang termasuk pemisahan kuasa, penilaian jawatankuasa teknikal serta kelulusan Lembaga Perolehan mengikut had kuasa yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan