Ad Banner
 AM > BERITA

Kenderaan Barangan Dilarang Berada Di Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina

05/02/2026 05:40 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata larangan itu berkuat kuasa dua hari sebelum perayaan berkenaan, iaitu pada 14 dan 15 Feb serta pada 21 dan 22 Feb.

Beliau berkata semua pengusaha dan pemandu kenderaan terlibat dinasihatkan agar mematuhi ketetapan ini dengan sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui Aplikasi MyJPJ menerusi e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my.

Ad Banner

“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan merancang perjalanan dengan baik sepanjang musim perayaan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menerusi lampiran yang disediakan, JPJ memaklumkan terdapat tiga kategori kenderaan barangan yang terlibat dengan larangan berada di jalan raya dengan kategori satu melibatkan sepanjang tempoh penguatkuasaan manakala kategori dua dari 8 malam hingga 8 pagi.

Bagi kategori tiga pula, larangan berkuat kuasa dari 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tarikh penguatkuasaan dan tertakluk dalam jarak 25 kilometer dari pangkalan ke tapak pembinaan serta had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

Menurut JPJ kenderaan kategori satu melibatkan lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kilogram, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda serta traktor, kecuali jentera berat beroda, trak tunda dan traktor yang digunakan bagi operasi kecemasan dan menyelamat.

Turut termasuk dalam kategori satu, lori pengangkut barangan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan lain, amang, bijih timah, aras batu dan bahan galian yang lain.

JPJ memaklumkan kenderaan di bawah kategori dua pula meliputi lori kontena yang mengangkut barangan kecuali lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya.

“Termasuk dalam kategori yang sama ialah lori kargo yang mengangkut barangan elektronik atau elektrik atau bahan industri kimia dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian di dalam negeri yang sama dan sebaliknya.

"Lori mengangkut tandan buah kelapa sawit segar, produk kelapa sawit mentah, getah sekerap dan susu getah, serta lori kargo tanpa muatan juga antara kenderaan di bawah kategori dua,” menurut kenyataan itu.

JPJ memaklumkan kenderaan dalam kategori tiga pula melibatkan kren bergerak dan lori pembancuh simen dengan jentera berat beroda dan kren bergerak diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan.

“Selain itu, mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam lampiran atau jadual, adalah dibenarkan menggunakan kenderaan dalam tempoh larangan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan