Ad Banner
 AM > BERITA

Maxis, Syarikat Pertama Pindah Beban Kerja Misi Kritikal Ke Wilayah AWS Malaysia

05/02/2026 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Maxis Berhad (Maxis) berjaya memindahkan beban kerja misi kritikalnya ke Wilayah Amazon Web Services (AWS) Malaysia, menjadikannya sebagai penyedia telekomunikasi pertama di negara ini yang meraih pencapaian berkenaan.

Maxis dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peralihan itu merangkumi 100 peratus beban kerja digital syarikat seperti aplikasi Maxis dan Hotlink yang menawarkan perkhidmatan kepada berjuta-juta pengguna di seluruh negara.

“Pengendalian beban kerja ini secara tempatan telah mengurangkan tempoh kependaman, menghasilkan masa tindak balas yang lebih pantas dan pengalaman lebih lancar untuk pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Ketua Pegawai Maklumat Maxis Ng May Ching berkata langkah itu menjamin keselamatan data syarikat di sempadan Malaysia, di samping meningkatkan kecekapan operasi.

"Perkara ini memastikan infrastruktur kita berdaya tahan dan bersedia untuk menyokong agenda digital negara pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.

Maxis memaklumkan bahawa peralihan tersebut diterajui oleh pasukan kejuruteraan awan dalaman syarikat telekomunikasi berkenaan, mengetengahkan kepakaran teknikal yang dibangunkan sejak syarikat itu memulakan usaha pengkomputeran awannya dengan AWS pada 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Prateek Pashine berkata kejayaan peralihan dalaman itu telah mengukuhkan keupayaan syarikat untuk membantu perniagaan Malaysia yang lain dalam menangani keperluan data berdaulat.

Dalam kenyataan yang sama, Pengurus Negara AWS Malaysia Hussein Mohd Ali berkata kejayaan peralihan Maxis itu menunjukkan keupayaan syarikat tersebut untuk dicontohi perusahaan Malaysia lain yang melalui transformasi awan masing-masing.

"Pencapaian penting ini mengukuhkan kerjasama antara Maxis dengan AWS. Sebagai Rakan Perkhidmatan Tahap Lanjutan AWS dan Rakan AWS Direct Connect di Malaysia, Maxis menyediakan panduan pakar untuk membantu perniagaan membina, mengoptimumkan dan mengintegrasikan sambungan awan berprestasi tinggi yang selamat," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan