Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Selangor Berangkat Ke Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Bernama 

06/02/2026 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), malam ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua di sebuah hotel terkemuka di ibu negara disambut oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan isteri Datin Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim,  Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Turut hadir Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson serta barisan pengurusan tertinggi agensi berita itu.

Ad Banner

Dalam sembah ucapan, Wong menjunjung kasih atas keberangkatan Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor ke majlis berkenaan, sambil menyifatkan kehadiran baginda berdua amat bermakna dan menyinari suasana sambutan.

Beliau berkata Tahun Baharu Cina bukan sahaja melambangkan permulaan baharu, nilai kekeluargaan dan kemakmuran, malah merupakan sebahagian penting daripada kepelbagaian budaya yang kaya di Malaysia.

“Di Malaysia, kekuatan kita terletak pada kepelbagaian perayaan, sama ada Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Gawai atau Kaamatan, yang mengingatkan kita tentang kepentingan saling menghormati, memahami dan bersatu sebagai sebuah negara,” katanya.

Beliau berkata perayaan itu juga memberikan ruang kepada rakyat untuk menghargai tradisi antara satu sama lain serta memperkukuh nilai keharmonian yang menjadi teras Malaysia.

Mengambil semangat itu, Wong berharap Tahun Kuda yang disambut pada tahun ini akan membawa kecergasan serta kejayaan berterusan kepada semua, selaras dengan lambang semangat keberanian, tenaga luar biasa, cita-cita tinggi dan ketekunan.

Majlis berkenaan turut meraikan ulang tahun kelahiran ke-45 Fahmi, yang jatuh pada 4 Feb.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan