Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Pahang Perkenan UnIPSAS Dijenamakan Sebagai Universiti Al-Quran

06/02/2026 10:51 AM

KUANTAN, 6 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan perkenan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dijenamakan sebagai Universiti al-Quran, sekali gus menjadi universiti pertama seumpamanya di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah usaha memartabatkan Islam di Pahang terus diperkukuh melalui institusi al-Quran dengan penubuhan universiti berteraskan pengajian al-Quran sebagai teras utama.

Baginda bertitah penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.

Ad Banner

“Penjenamaan ini ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung,” titah baginda yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang hari ini. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-69 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan harapan supaya Universiti al-Quran yang bakal disempurnakan pengisytiharannya dapat mengalirkan kefahaman al-Quran ke segenap penjuru selain melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman.

Menjelang Ramadan, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat Pahang membuat persiapan rapi dalam menyambutnya dengan penuh keinsafan, kesungguhan dan ketundukan kepada Allah SWT.

Sultan Pahang bertitah Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya madrasah jiwa, medan tarbiah rohani serta musim untuk memperkukuh hubungan hamba dengan Pencipta.

Baginda menegaskan keindahan Ramadan turut terserlah melalui sikap saling menghormati, bertolak ansur dan membantu golongan memerlukan agar keberkatan bulan mulia itu dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.

Pada majlis itu, Johan Qari disandang oleh Zul-Hasyimi Mohamed Yunus manakala kategori Qariah dimenangi Nurul Saadah Mohamad Zaini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan