Ad Banner
 AM > BERITA

Ranhill SAJ Laksana Bekalan Air Berjadual Di Kluang, Pontian

07/02/2026 12:07 PM

JOHOR BAHRU,  7 Feb (Bernama) -- Operator air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) melaksanakan Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian bermula tengah malam ini hingga 28 Feb, susulan paras tadahan Empangan Machap yang menunjukkan trend penurunan kini berada pada tahap pemantauan rapi.

Menurut hantaran Facebook Ranhill SAJ, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih beroperasi dan terus membekalkan air terawat kepada pengguna, namun pada kapasiti lebih terkawal bagi memastikan kesinambungan bekalan.

Ranhill SAJ memaklumkan, BAB dilaksanakan sebagai langkah pengurusan sementara bagi menstabilkan operasi LRA serta memastikan agihan bekalan air dapat dilaksanakan secara adil dan mencukupi kepada semua kawasan terlibat sepanjang tempoh berkenaan.

Ad Banner

“Sekiranya keadaan bertambah baik, termasuk cuaca yang menggalakkan dan hujan lebat di kawasan tadahan, jadual BAB akan disemak semula,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat, mengelakkan pembaziran serta menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan asas.

Bekalan air alternatif melalui lori tangki dan tangki statik akan terus disediakan mengikut keperluan di kawasan strategik, manakala situasi semasa akan dipantau dan perkembangan terkini dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan