Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Mahu Setiap Kampung Dibangunkan Ke Tahap Terbaik

07/02/2026 02:00 PM

SEPANG, 7 Feb (Bernama) -- Kerajaan MADANI mahu membangunkan setiap kampung di negara ini ke tahap terbaik merangkumi aspek kemudahan asas, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata perkara berkenaan adalah komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu di bandar, sebaliknya turut memberikan manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Sehubungan dengan itu, Dr Wan Azizah berkata inisiatif Kampung Angkat MADANI langkah terbaik yang diperkenalkan kerajaan bagi membolehkan penambahbaikan pada setiap kampung dilaksanakan secara berkesan oleh semua pihak.

Ad Banner

“Perdana Menteri mahu supaya di Malaysia ini, tiap-tiap kampung dapat dibangunkan ke tahap sebaik mungkin (untuk masyarakat) pada peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kampung Angkat MADANI di Kampung Labu Lanjut, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Mohd Sabu dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Datuk Dr Roslan Hussin.

Dr Wan Azizah menegaskan, yang usaha mengejar kemajuan dalam bidang digital, ekonomi dan teknologi tidak seharusnya meminggirkan keperluan asas rakyat di kampung.

“Anak-anak kita mesti menikmati setiap hasil pembangunan. Sebab itu, kemudahan asas tidak boleh diketepikan walaupun negara bergerak ke arah ekonomi digital,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan teknologi dalam kalangan anak-anak bagi mengelak terjebak pengaruh negatif seperti buli siber dan kandungan tidak bermoral. 

Kampung Angkat MADANI diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian telekomunikasi dapat dipertingkatkan melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan