IPOH, 8 Feb Bernama) -- Lagu rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak diperdengarkan buat julung kali dalam satu majlis penuh bersejarah yang berlangsung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, hari ini.
Persatuan Pengakap Malaysia dalam kenyataan memaklumkan lagu baharu ini menjadi simbol identiti dan kebanggaan bagi seluruh warga pengakap di Perak sepanjang sambutan seabad pergerakan tersebut.
Pelancaran lagu tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ahmad Sabri Saad dan turut hadir Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak Ahmad Azam Shah Abd Majid.
Turut diadakan penganugerahan kepengakapan kepada 266 ahli pengakap negeri Perak iaitu 38 penerima anugerah Kecemerlangan Ketua Pengakap Negara (Rambu Kuning), Rambu Hijau (86) Lencana Pengakap Raja ( 69 ) dan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri (73) sebagai pengiktirafan atas sumbangan serta dedikasi mereka.
Sementara itu, bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-100 itu sebanyak 13 program utama telah dirangka, antaranya Festival Rewang Moreh Ramadan, Agonoree Pengakap Perak, Pangkor Scout Challenge dan Pertandingan Tarian Tradisional.
Kemuncak sambutan akan dimeriahkan dengan Festival 100 Tahun Pengakap Perak pada September depan serta Aeroboree Peringkat Kebangsaan dan Majlis Makan Malam.
Dalam pada itu, Ahmad Azam berkata kesemua program yang dirancang bertujuan mengimbau sejarah dan legasi kepengakapan di negeri Perak selain memperkukuh perpaduan ahli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial