Ad Banner
 AM > BERITA

RM3.4 Juta Penjimatan Dinikmati Pengguna Menerusi PJRM Di Perlis Pada 2025 

09/02/2026 10:38 PM

KANGAR, 9 Feb (Bernama) -- Penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang dilaksanakan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis sepanjang tahun lepas berjaya menjimatkan perbelanjaan pengguna sebanyak RM3.4 juta.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata PJRM yang menawarkan harga barangan keperluan harian lebih murah antara 10 hingga 30 peratus berbanding pasaran itu memberi manfaat kepada 170,000 pengguna pada 2025.

Beliau berkata sebanyak 486 PJRM telah dianjurkan di negeri ini tahun lepas dengan 397 daripadanya dibuat secara bergerak ke pelbagai lokasi manakala selebihnya dilaksanakan di dalam premis seperti kedai dan luar premis.

Ad Banner

"Kita turut melaksanakan PJRM premium sempena musim perayaan di lokasi terpilih di Perlis," katanya dalam temu bual bersama Bernama di Pejabat KPDN Perlis di sini hari ini.

Rohaida berkata pihaknya juga kerap melaksanakan PJRM di kawasan yang agak jauh dari bandar seperti di Titi Tinggi dan Wang Kelian dekat Padang Besar sebagai usaha menyediakan kemudahan untuk penduduk kawasan itu menikmati jualan harga murah bagi mendapatkan barangan keperluan mereka.

Beliau berkata pengguna sering memberi maklum balas positif kepada KPDN Perlis mengenai penganjuran PJRM yang membantu mereka mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

"Rata-rata pengunjung berpendapat bahawa barangan keperluan yang dijual di PJRM ini berbaloi dan murah, rakyat dapat benda yang betul-betul boleh membantu menangani kos sara hidup," katanya.

Rohaida berkata antara barangan menjadi pilihan utama pengguna ialah minyak masak peket, beras, telur ayam, tepung gandum, minyak masak botol dua kilogram (kg) dan lima kg, bawang serta pencuci pinggan dan pencuci baju.

Katanya KPDN Perlis akan menganjurkan sekurang-kurangnya 540 kali program jualan itu di pelbagai lokasi sejajar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang program jualan itu akan dibuat tiga kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. 

"Ini tidak termasuk dengan ada permohonan seperti daripada JPKKP (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan) dan pihak jabatan kerajaan yang minta kita masuk sekali buat PJRM, saya sasarkan mungkin lebih 540 kali ini," katanya.

Sementara itu, Rohaida mengajak orang ramai untuk mengunjungi PJRM Premium yang dianjurkan KPDN Perlis di dataran bersebelahan Kompleks Seri Putra di sini pada 14 Feb ini bermula dari 9 pagi hingga 6 petang sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan persediaan menyambut Ramadan.

Beliau berkata banyak barangan basah dan kering dibawa ke program itu bagi memudahkan pengguna membeli barangan keperluan sempena perayaan itu dan Ramadan pada harga yang murah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan