SEPANG, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencari kaedah bagi memastikan harga barangan dan makanan di lapangan terbang kendaliannya dapat ditawarkan pada kadar berpatutan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementeriannya menerima rungutan daripada pelancong dan orang ramai yang mendakwa harga barangan dan makanan di lapangan terbang adalah lebih mahal daripada kedai luar.
"Saya ada berbincang bersama (penyewa) outlet berkenaan perkara ini dan mereka maklumkan kalau boleh sewaan (kadar) dipertimbangkan, kemungkinan harga jualan boleh diturunkan.
"Bagaimanapun saya serahkan kepada peringkat pengurusan untuk mengadakan perbincangan mengenainya," katanya kepada media selepas majlis pelancaran ShopLAH by MAHB di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani.
Selain itu, beliau berharap MAHB dapat menyediakan lebih banyak lot kedai yang menawarkan makanan tempatan selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi dipromosikan kepada pelancong.
Mengenai ShopLAH, Tiong berkata kempen anjuran MAHB di beberapa lapangan terbang kendalian pihak itu dapat memberikan pengalaman kepada pelancong yang baru tiba di pintu masuk utama negara.
Sementara itu, Mohd Izani berkata kempen ShopLAH memberi peluang kepada produk tempatan seperti Sense of Malaysia, Kapten Batik dan Royal Selangor, yang mencerminkan identiti negara, mudah diakses oleh pelancong di lapangan terbang.
"ShopLAH menggabungkan nilai, identiti tempatan dan elemen digital antaranya penambahbaikan melalui Tourist Privilege Card dalam aplikasi MYAirports serta kolaborasi bersama artis tempatan dalam koleksi cenderamata khas,” katanya.
Beliau berkata selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kempen itu turut dilaksanakan di lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB di Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu dan Kuching yang bermatlamat menjadikan lapangan terbang sebagai ruang menghubungkan pelancongan, perniagaan serta identiti negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial