Ad Banner
 AM > BERITA

Peningkatan Malaysia Dalam CPI Bukti Ketegasan Kerajaan Perangi Rasuah - PM Anwar

11/02/2026 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara terbukti dengan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Perdana Menteri berkata kedudukan Malaysia yang melonjak ke tangga 54 dalam CPI dunia antara lain didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ini termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Ad Banner

Sambil menzahirkan rasa syukur atas peningkatan CPI itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.

Perdana Menteri berkata tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

“Pencapaian ini juga adalah peringatan untuk kita menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan,” kata Anwar.

Berdasarkan laporan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, kedudukan Malaysia bertambah baik daripada tempat ke-57 pada 2024 ke tempat ke-54 tahun lepas.

Menurut laporan itu, Malaysia di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Brunei, malah skor negara bagi tahun lepas meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024, menunjukkan trend menaik yang sederhana tetapi menggalakkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan