Ad Banner
 AM > BERITA

MRL Lantik Maxis Sebagai Penyedia Infrastruktur Rangkaian 4G, 5G Sepanjang Jajaran ECRL - Fahmi

11/02/2026 01:33 PM

KUANTAN, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) melantik Maxis Berhad (Maxis) sebagai penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih 4G dan 5G di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan infrastruktur, malah membolehkan penyedia perkhidmatan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengalaman pengguna serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerjasama ini menandakan satu lagi langkah penting kerajaan dalam usaha membina masa depan digital negara, selari dengan pembangunan infrastruktur fizikal berskala nasional, khususnya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti ECRL,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU & E-Loco Projek ECRL dan Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen KotaSAS di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan pendekatan kolaboratif yang melibatkan lima pengendali rangkaian mudah alih utama negara berasaskan prinsip perkongsian infrastruktur.

“Inisiatif ini juga selari dengan dasar kerajaan iaitu ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ yang bertujuan memastikan liputan Internet tersedia di sepanjang jalan raya, lebuh raya serta laluan pengangkutan utama negara, termasuk jajaran ECRL,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan memperkenalkan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali yang akan dikongsikan bersama penyedia perkhidmatan lain seperti CelcomDigi, Telekom Malaysia dan YTL. 

Fahmi berkata pendekatan bersepadu itu akan memberikan manfaat kepada penumpang ECRL dan memperkukuh liputan rangkaian di sepanjang koridor ECRL merangkumi kawasan bandar, pembangunan bandar baharu berorientasikan transit, kawasan pinggir bandar serta luar bandar. 

“Dengan siapnya infrastruktur rangkaian ini kelak, Maxis, CelcomDigi, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia akan dapat menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL dengan tahap kualiti liputan yang mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS),” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan