Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tourism Malaysia, Mitsui Outlet Park KLIA Meterai Kerjasama Strategik Perkasa TMM2026

12/02/2026 09:24 PM

SEPANG, 12 Feb (Bernama) -- Pelancaran kempen Tourist Privilege Card (TPC) hari ini menandakan langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem pelancongan Malaysia, dengan tumpuan baharu untuk meletakkan negara sebagai destinasi antarabangsa pilihan dalam segmen beli-belah dan gaya hidup.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata TPC ialah kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dengan Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (MOP KLIA) bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Beliau berkata kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta menjadi faktor kejayaan yang penting dalam memastikan kejayaan TMM2026.

Ad Banner

"Walaupun kerajaan menerajui kempen TMM2026, kejayaannya disokong oleh kerjasama kukuh dan bermakna antara sektor awam dengan swasta," katanya pada majlis pelancaran kempen TPC di sini, hari ini.

Chiew berkata kerjasama itu penting dalam mengukuhkan ekosistem pelancongan Malaysia, meningkatkan pengalaman pelawat dan memastikan pertumbuhan industri yang mampan dan inklusif.

Menyifatkan kerjasama itu sebagai strategik dan berpandangan jauh, beliau berkata MOP KLIA, sebagai destinasi beli-belah bertaraf dunia, melengkapi penawaran pelancongan Malaysia yang pelbagai dengan menyediakan pengalaman runcit bertaraf antarabangsa.

Chiew berkata pengenalan kempen TPC itu menjadi pemangkin kepada perkongsian kerana secara langsung memberikan ganjaran kepada pelawat antarabangsa yang memilih Malaysia.

"Dengan menawarkan manfaat eksklusif dan pengalaman beli-belah bernilai tinggi, TPC menggalakkan peningkatan perbelanjaan pelancongan sambil meletakkan MOP KLIA sebagai destinasi wajib dikunjungi dalam setiap jadual perjalanan pelancong," katanya.

Inisiatif itu, katanya, selaras dengan objektif TMM2026 yang menumpukan kepada peningkatan pengalaman pelawat, memperkukuh daya saing destinasi serta memacu pertumbuhan pelancongan yang mampan melalui kerjasama awam–swasta.

Beliau berkata kerjasama itu juga mencerminkan prinsip Malaysia MADANI, khususnya kemampanan, keterangkuman, inovasi dan kemakmuran bersama.

"Dengan mewujudkan hasil yang saling menguntungkan kepada pelawat, perniagaan dan komuniti tempatan, kerjasama ini menyokong pembangunan ekonomi pelancongan yang berdaya tahan dan berteraskan rakyat," katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Chua Choon Hwa, Menteri dan Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Jepun di Malaysia Daisuke Nihei dan Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Masayoshi Saito.

Kempen TPC yang berlangsung dari 12 Feb hingga 12 Mei, menawarkan insentif penebusan istimewa kepada pembeli antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha untuk merangsang perbelanjaan pelancong dan memperkukuh segmen pelancongan runcit.

Pelawat yang berbelanja RM2,500 ke atas dalam satu resit di premis yang mengambil bahagian layak menebus sebuah bagasi perjalanan bersaiz kabin eksklusif, manakala mereka yang berbelanja RM300 dan ke atas boleh menebus MOP KLIA Travel Scale.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan