Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TIBI Di Johor Terkawal, Tiada Kes Baharu - Exco

13/02/2026 03:54 PM

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- Penularan kes penyakit Tuberkulosis atau tibi di Johor dalam keadaan terkawal dengan tiada kes baharu yang direkodkan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengesan kontak rapat bagi mengekang penularan penyakit itu.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya jangan panik kerana KKM menguruskannya,” katanya kepada pemberita selepas memantau pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bersama-sama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Ling berkata KKM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan penyakit tibi termasuk melaksanakan pemeriksaan susulan terhadap kontak rapat yang negatif dalam tempoh kira-kira dua tahun bagi memastikan mereka bebas sepenuhnya daripada penyakit itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak 37 kes Tibi dikesan di Johor setakat ini.

Pada perkembangan lain, Ling berkata SWCorp telah mengeluarkan 89 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) terhadap 52 individu termasuk 37 warga asing di negeri itu berkaitan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam,  dengan sebahagian besar di Johor Bahru.

“Antara warganegara asing paling tinggi melakukan kesalahan ialah Bangladesh dengan 10 orang, Indonesia (sembilan) dan Singapura (lima),” katanya.

Beliau berkata sebanyak lima kes telah selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda RM4,000 dan hukuman PKM antara enam hingga lapan jam terhadap setiap individu.

“Selebihnya, siasatan masih berjalan dan menunggu tarikh untuk pendakwaan di mahkamah dan (dijangka selesai) dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Ling berkata kerajaan negeri memandang serius isu kebersihan awam dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terpelihara.

“Kita mahu membudayakan amalan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama-sama demi menjayakan Agenda Johor Bersih serta aspirasi Bandar Bersih Johor 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan