SEREMBAN, 13 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 2,078 daripada 23,286 pendatang tanpa izin yang diperiksa menerusi 763 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri pada tahun lepas berbanding 2,292 individu, tahun sebelumnya.
Pengarah JIMNS Kennith Tan Ai Kiang berkata penahanan itu melibatkan warga asing dari beberapa negara termasuk Indonesia dan Bangladesh dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
“Kalau kita lihat, bilangan tangkapan menurun tahun lepas berbanding 2024, menunjukkan penguatkuasaan dilaksanakan membuahkan hasil. Di negeri ini, dapat disimpulkan majoriti warga asing mematuhi peraturan imigresen dengan 90 peratus diperiksa mempunyai permit sah.
“Bagaimanapun, tangkapan membabitkan majikan sedikit bertambah kepada 93 individu tahun lepas berbanding 58 majikan pada 2024. Masyarakat mungkin anggap kita tak ambil tindakan ke atas majikan tetapi 93 ini adalah yang didakwa,” katanya ketika sesi perjumpaan bersama media di sini hari ini.
Beliau berkata Seremban kekal menjadi hotspot pendatang tanpa izin di Negeri Sembilan apabila 278 daripada keseluruhan 292 individu ditahan menerusi 88 operasi melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan.
Selain itu, Tan berkata Kuala Pilah dikenal pasti sebagai antara lokasi pemindahan sementara warga asing untuk melarikan diri ketika operasi dilaksanakan berikutan kedudukannya berdekatan dengan Seremban, selain terdapat banyak kawasan tidak berpenghuni di daerah itu.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 2,653 warga asing diusir ke negara asal pada tahun lepas dengan majoritinya ialah warga Indonesia, dan jumlah tertinggi adalah ketika menjelang hari raya.
Sementara itu, sebanyak 201 permohonan pas electronic pass long stay (ePLSI) diterima pada bulan lepas membabitkan 165 pas bagi pasangan warganegara, manakala bakinya ialah pas lawatan sosial.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata projek menaik taraf Depot Imigresen Lenggeng di sini dijangka siap sepenuhnya sebelum pertengahan tahun ini, dengan kos dianggarkan RM50 juta termasuk melibatkan penambahan bangunan baharu seperti blok tahanan wanita.
“Ia sepatutnya disiapkan Disember tahun lepas, tetapi berlaku sedikit kelewatan disebabkan perkara tidak dapat dielakkan, selepas naik taraf ia boleh menempatkan 1,200 individu berbanding 1,000 orang ketika ini,” katanya sambil menambah tiada kesesakan dilaporkan di depo berkenaan setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial