Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemudahan Biogas Di Kampung Valdor Tukar Sisa Ternakan Kepada Tenaga Elektrik

14/02/2026 05:55 PM

NIBONG TEBAL, 14 Feb (Bernama) --  Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan projek kemudahan biogas berpusat di Kampung Valdor di sini, sebagai inisiatif menukar sisa ternakan kepada tenaga elektrik boleh baharu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif berkenaan juga sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu alam sekitar berkaitan penternakan babi di negeri itu, dan menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengurus sisa ternakan secara lestari serta sistematik.

“Hari ini detik penting buat Pulau Pinang dalam komitmen kita menyelesaikan isu berkaitan industri ternakan di negeri ini dan pada skala semasa, pengurusan sisa yang berkesan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan asas untuk melindungi kualiti udara, sistem air dan kesejahteraan komuniti.

Ad Banner
Ad Banner

"Ia juga bukan sekadar fasiliti memproses sisa ternakan dan menukarkannya kepada tenaga tetapi penyelesaian kepada isu alam sekitar yang telah lama wujud,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kemudahan itu di Kampung Valdor, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Dibangunkan oleh perintis infrastruktur hijau tempatan, Timeless Green Sdn Bhd dengan kerjasama firma kejuruteraan terkemuka, Minconsult Sdn Bhd, kemudahan biogas berpusat itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan penyelesaian teknikal yang kukuh dan diperakui bagi melindungi komuniti, sambil menjana tenaga bersih.

Chow berkata projek yang dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta bernilai RM25.9 juta itu bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran, malah berdasarkan pemantauan kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pengurangan ketara aduan bau serta peningkatan kestabilan alam sekitar di kawasan berhampiran.

Beliau berkata kemudahan itu yang beroperasi sejak Mac 2024 lepas telah diluluskan di bawah rangka kerja Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), dan berupaya menukarkan sisa ternakan kepada tenaga boleh diperbaharui.

"Kemudahan itu memproses kira-kira 120 tan metrik sisa babi sehari, bersamaan sisa daripada kira-kira 20,000 ekor babi dan ia menghasilkan hingga 0.6 megawatt tenaga di bawah operasi berselang pada tahun lepas.

"Pada kapasiti reka bentuk penuh, ia mampu menjana hingga 1.2 megawatt dengan 1 megawatt disalurkan ke grid nasional, selain itu ia direka untuk memproses hingga 226,000 tan metrik sisa ternakan setahun dan menghasilkan kira-kira 10.5 gigawatt-jam tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Chow berkata ketika ini kemudahan itu memberikan perkhidmatan kepada 20 ladang melibatkan kira-kira 30,000 ekor babi, dan mempunyai kapasiti untuk diperluas bagi menampung sisa hingga 90,000 ekor pada fasa seterusnya.

"Sehingga tahun ini, Pulau Pinang merekodkan 113 ladang babi dengan kira-kira 89,857 ekor, manakala di Seberang Perai Selatan sahaja terdapat 44 ladang melibatkan sekitar 42,277 ekor," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri merancang pembangunan kemudahan rawatan sisa dan penjanaan tenaga serupa di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara di sini, namun tertakluk kepada penilaian menyeluruh.

Projek pembinaan kemudahan biogas berpusat di Kampung Selamat dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun dengan sasaran operasi bermula pada 2029, menggunakan pendekatan moden yang sama seperti kemudahan sedia ada di Kampung Valdor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan