Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kpkm Rangka Pelan Induk Industri Penternakan Babi

14/02/2026 07:52 PM

NIBONG TEBAL, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merangka satu pelan induk bagi industri penternakan babi sebagai garis panduan menyeluruh kepada pemain industri di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata pelan itu dijangka memfokus kepada pembangunan mampan khususnya dalam aspek pengurusan sisa haiwan tersebut bagi mengelakkan impak yang besar terhadap alam sekitar.

"Saya melihat isu utama dalam penternakan babi ini adalah berkaitan dengan hal ehwal alam sekitar kerana jika isu ini tidak diurus dengan baik, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah lain. Lebih buruk, ia mungkin berupaya mencetuskan isu sosial atau sensitiviti antara kaum dan agama di negara ini.

Ad Banner
Ad Banner

"Atas sebab itu juga, saya mengucapkan terima kasih kepada Pulau Pinang kerana mengambil inisiatif untuk menunjukkan kepada kita bagaimana cara terbaik menguruskan sisa buangan secara lebih bertanggungjawab," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Pelancaran Projek Kemudahan Biogas Berpusat Kampung Valdor dan lawatan ke tapak projek yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Sementara itu, Chan berkata larangan menyeluruh terhadap aktiviti penternakan babi di Selangor dijangka tidak akan menjejaskan bekalan daging haiwan itu dalam tempoh terdekat berikutan kadar sara diri negara (SSL) bagi tujuan itu ialah sekitar 65 peratus.

"Bagaimanapun, dalam jangka panjang kita perlu memastikan komuniti bukan Islam di Malaysia terus dapat menikmati hak mengamalkan budaya mereka termasuk mendapatkan sumber protein utama. Sebab itu saya percaya industri tersebut masih perlu diurus dengan baik dan lebih mampan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memperkenankan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu kerana dikhuatiri menimbulkan pencemaran alam sekitar dan keresahan masyarakat.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa penternakan babi berisiko menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sungai susulan pelepasan najis dan sisa kumbahan sekali gus menjejaskan sumber air bersih.

Susulan itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata Selangor akan mengimport sepenuhnya bekalan daging babi bagi memenuhi keperluan tempatan susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tidak lagi meneruskan aktiviti penternakan di negeri itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan