KIMANIS, 14 Feb (Bernama) -- Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang menawarkan penjimatan harga barangan asas sehingga 30 peratus menjadi pemangkin kepada usahawan tempatan untuk memperluas pasaran, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta memperkasakan ekosistem keusahawanan dan koperasi tempatan.
“Inisiatif ini memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat, khususnya dalam membuat persediaan menghadapi Ramadan yang bakal tiba,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Pekan Kimanis di sini hari ini.
Bangunan baharu itu dibina menerusi sumbangan dan usaha daripada Mohamad ketika beliau menjawat jawatan selaku Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.
Mohamad berkata JMKU yang turut berlangsung di sini hari ini antara bentuk keprihatinan kerajaan bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak terbeban dengan kenaikan harga barang, terutama menjelang musim perayaan.
Ahli Parlimen Kimanis itu berkata program itu disertai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, iaitu Bank Rakyat yang menyampaikan sumbangan khas kepada 204 pelajar daripada golongan asnaf dan B40 berjumlah RM30,600 sebagai sokongan terhadap agenda kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) juga membuka reruai pameran bagi memberikan penerangan, khidmat nasihat serta semakan awal kelayakan pembiayaan kepada pengunjung.
Usahawan dan bakal usahawan yang berminat turut berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim Pembiayaan TEKUN, khususnya Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT).
Skim itu diperkenalkan sempena Ramadan dan Aidilfitri bagi membantu persediaan modal perniagaan dan tempoh permohonan bagi skim berkenaan telah dibuka sejak 1 Feb hingga 15 Mac depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial